Zikir Selepas Solat: Sunnah Yang Penuh Keberkatan


Lepas kita solat, mesti kita perasan ada yang terus berzikir, berdoa, dan ada juga yang terus bangun. Tapi sebenarnya, ada apa pada zikir lepas solat ni? Adakah wajib atau sekadar sunnah? Dan apa sebenarnya kelebihan berzikir lepas solat ni?

Sebenarnya, amalan berzikir selepas solat adalah sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW selalu berzikir selepas solat, dan ini adalah cara beliau mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa bertasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali, bertahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali, dan bertakbir (Allahu Akbar) tiga puluh tiga kali setelah selesai solat, maka dosanya akan diampuni oleh Allah meskipun sebanyak buih di lautan."
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ni jelas menunjukkan betapa besarnya ganjaran dan kebaikan yang Allah SWT sediakan bagi orang yang berzikir selepas solat. Zikir ni bukan sekadar kata-kata kosong, tapi setiap lafaznya mengingatkan kita tentang keagungan Allah. Sebut sahaja "Subhanallah", kita ingat akan kesucian dan kebesaran-Nya. 



Bila kita lafazkan "Alhamdulillah", kita syukuri segala nikmat-Nya yang tak terhitung banyaknya. "Allahu Akbar" pula, mengingatkan kita bahawa Allah lebih hebat dari segalanya.

Zikir: Ubat Hati dan Penenang Jiwa

Pernah tak kita rasa gelisah, jiwa tak tenang atau resah? Allah SWT dalam al-Quran berfirman:

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

Ayat ni sangat mendalam maknanya. Kadang-kadang dalam hidup ni, kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sampai lupa mencari ketenangan. Zikir sebenarnya umpama "charger" untuk hati kita. Bila kita berzikir, hati akan rasa lebih tenang, seolah-olah segala beban yang kita bawa tu diringankan oleh Allah. Sebab tu, berzikir lepas solat boleh jadi pengubat hati yang resah.

Menghidupkan Sunnah dan Mendekatkan Diri kepada Allah

Dengan berzikir selepas solat, kita sebenarnya sedang menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Amalan ni nampak kecil, tapi impaknya besar pada hati dan jiwa. Kita akan lebih rasa dekat dengan Allah dan hati lebih terjaga dari perkara-perkara yang melalaikan. Malah, orang yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah akan sentiasa berada dalam perlindungan-Nya.

Kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah, "Aku tidak pernah melihat sesuatu yang dapat membersihkan hati dan mendekatkan seseorang kepada Allah seperti zikir."

Zikir yang Membawa Keinsafan

Jadi, selepas kita solat, ambil masa sekejap untuk berzikir. Bayangkan, lafaz yang kita sebut tu adalah satu cara untuk kita dekatkan diri dengan Allah. Tak perlu lama, cukup dengan hati yang ikhlas. Zikir bukan hanya sekadar amalan, tapi ia adalah cara untuk kita rasa kehadiran Allah dalam setiap langkah kita. Moga-moga, dengan amalan ni, Allah bukakan pintu ketenangan, keberkatan, dan rahmat buat kita semua.

Wallahua'lam.

0/komen