Kereta Elektrik BMW i4 eDrive 35 M Sport Di Malaysia


BMW Malaysia memulakan tahun 2025 ini dengan mengumumkan beberapa penawaran terbaharu dan salah satunya ialah kereta elektrik mereka yang kini dipasang di Malaysia iaitu BMW i4 eDrive35 M Sport.


BMW i4 eDrive35 M Sport ini merupakan kereta elektrik kelas coupé dengan M Sport Package yang dipacu motor elektrik di bahagian belakang menggunakan sistem pemanduan eDrive generasi kelima, yang memberikan kuasa kuda 286hp, 210 kW dan 400 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 6 saat dengan kelajuan maksimum 190 km/j. Ia mempunyai kapasiti bateri sebesar 70 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 500km WLTP. Pengecasan pula dilakukan menerusi AC 11kW yang akan mengambil masa selama 7 jam untuk pengecasan penuh, manakala pengecasan pantas 180kW DC membolehkan pengecasan dari 30-80% sepantas 30 minit.


Sinonim dengan jenama BMW adalah kemewahan dan kecanggihan teknologi yang terdapat pada kereta elektrik ini seperti paparan instrumen bersaiz 12.3 -inci, paparan hiburan bersaiz 14.9 -inci, sistem swapandu tahap 2 dengan fungsi-fungsi pintar, dan juga aksesori M Sport dari rim tayar, kemasan tempat duduk M PerformTex yang dihasilkan dari material lestari sejajar dengan misi BMW yang juga ingin menghadkan pembebasan karbon, lampu laser LED dan bermacam lagi.




BMW i4 eDrive35 M Sport yang dipasang di Malaysia ini dijual pada harga RM 294,800 dengan jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 jarak perbatuan, tertakluk yang mana satu dahulu dan pembeli boleh menambah pakej tambahan, menjadikan harganya berjumlah RM 315,600 termasuk kos selenggaraan dan juga jaminan tambahan selama 5 tahun.

0/komen