Mangsa Ragut Lelaki Bermotosikal Biru


Seorang suri rumah berusia 55 tahun turut menjadi mangsa ragut suspek bermotosikal biru apabila rantai emas bernilai RM12,000 dipakainya dilarikan dalam kejadian di Taman Paya Dalam, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 7.34 malam ketika mangsa sedang berdiri di hadapan pekarangan rumah bagi menunggu anaknya keluar bekerja.

Ujarnya, mangsa kemudian dikatakan melihat sebuah motosikal jenis Kawasaki Rr bewarna biru ditunggang dua lelaki melalui kawasan tersebut sebelum tiba-tiba berpatah balik dan menuju ke arahnya.




 “Pembonceng telah merentap rantai leher emas dipakai mangsa yang bernilai kira-kira RM12,000 lalu menunggang semula motosikal dan melarikan diri."


“Mangsa cuba melawan tetapi tidak berjaya, dia turut mengalami sakit di bahagian leher dan dada,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan siasatan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi, suspek dipercayai merupakan individu sama yang terlibat dalam kejadian samun di Buloh Kasap, Segamat, Johor, Khamis lalu.

Terdahulu, satu rakaman CCTV kejadian samun itu turut tular  memaparkan suspek menunggang motosikal biru merentap rantai emas dipakai seorang wanita ketika mangsa sedang berjalan kaki untuk pergi beraya di Taman Astakajaya.


Mengulas lanjut Christopher berkata, pihaknya kini sedang giat memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan

0/komen