Kekejaman British Dalam Perang Perak


Pasti ramai rakyat negara ini yang tidak mengetahui bahawa satu ketika dulu British pernah melakukan kekejaman dengan membakar kampung-kampung Melayu, kubu pertahanan dan masjid di negeri Perak.

Kurangnya liputan dan pendedahan separa masak oleh Media arus perdana serta penulisan dalam teks sejarah tentang peristiwa ini mungkin punca ia tidak tersebar dengan meluas. Kerana Sejarah di Malaysia "selalunya ditulis oleh orang yang menang".

Tapi tidak mengapa, untuk artikel kali ini saya akan berkongsi apa yang telah berlaku di Perak satu ketika dahulu rentetan daripada pembunuhan Residen British pertama di Perak iaitu J.W.W Birch, yang mengakibatkan British membalas serangan terhadap pejuang-pejuang Melayu kembali.

PEMBUNUHAN J.W.W. BIRCH

Pada 2 November 1875 J.W.W Birch, Residen British ketika itu terkorban ketika sedang mandi dalam rumah rakit dari kapal beliau iaitu SS Dragon di Sungai Perak dekat Pasir Salak. Beliau dibunuh setelah orang-orang Melayu tidak berpuas hati dengan kaedah pentadbiran beliau dan langkah beliau untuk mencampuri urusan orang-orang Melayu. Penterjemah beliau berbangsa Melayu juga maut dalam serangan tersebut.

Pejuang-pejuang Melayu turut mengepung kediaman Residen British di Bandar Tua, Kampung Gajah. British menganggap kebangkitan ini akan berlaku serentak di seluruh Tanah Melayu, justeru itu pihak British segera bertindak memohon bantuan dari Pejabat Kolonial untuk menghantar tentera bagi menghalang orang-orang Melayu dari membuat kebangkitan bersenjata menentang British.

60 tentera British dari Rejimen ke-10 dan 30 polis dari Pulau Pinang dikerahkan dan mula tiba di Perak pada 5 November bagi merancang untuk menawan kembali Bandar Tua dan kemudiannya menyerang kubu orang Melayu. Dua hari kemudian berlakulah pertempuran pertama di antara tentera British dan pejuang-pejuang Melayu di Bandar Tua, Kampung Gajah. Pihak British berjaya menawan kembali kediaman Residen British yang sebelum ini diduduki oleh pejuang-pejuang Melayu.

Pahlawan Melayu setelah gigih bertempur dengan hebat akhirnya berundur ke kubu Pasir Salak. Mereka berundur adalah bagi mengukuhkan lagi kekuatan kubu Pasir Salak bagi persedian menghadapi serangan besar-besaran pihak British. Mayat J.W.W Birch dijumpai di tebing Sungai Perak berhampiran Bandar Tua ini sejurus tamatnya pertempuran tersebut.

BRITISH MEMOHON BANTUAN LUAR

Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir William Francis Drummond Jervois melawat Perak pada 9 November 1875 untuk memantau operasi ketenteraan British keatas pejuang-pejuang Melayu.
Beliau mendapati kubu orang Melayu di Pasir Salak agak kebal untuk diserang menggunakan kekuatan sedia ada British di Perak ketika itu. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memohon bantuan tentera tambahan dari London, India dan Hong Kong.

Tentera British tiba di Pasir Salak dan memulakan kepungan ke atas kubu Pasir Salak pada 15 November 1875. Mereka melakukan kepungan dan menghalang sebarang pergerakan keluar masuk ke kawasan kubu Pasir Salak namun tidak memulakan serangan keatas kubu tersebut. Kubu ini dipertahankan oleh hampir 800 orang pahlawan Melayu dan mempunyai beberapa laras meriam Rentaka serta senapang.

Kapal perang yang membawa 300 tentera British dari Rejimen ke-80 yang berpengkalan di Hong Kong tiba di Singapura untuk mengisi muatan pada 16 November 1875 dan keesokannya mula berlayar ke Perak.

Kemudian seramai hampir 1400 tentera British dari India yang terdiri daripada Rejimen ke-3, 1st Gurkhas dan The Madras Sappers tiba di Pulau Pinang daripada India pada 26 November 1875. Pasukan ini dipimpin oleh Brigadier General J. Ross turut memiliki beberapa laras meriam dan pelancar roket. Bala tentera ini kemudiannya bergerak ke Perak menggunakan jalan darat melalui Krian menghala ke Pasir Salak.

Rejimen ke-80 Tentera British dari Hong Kong  tiba di Perak pada awal Disember 1885 dan mula bergabung dengan tentera British dari India serta yang telah mengepung kubu Pasir Salak. Tentera British mula melancarkan serangan ke atas kubu Pasir Salak dengan kekuatan hampir 2000 orang tentera. Serangan pertama oleh pihak British berjaya digagalkan oleh orang-orang Melayu dan menyebabkan Kapten Innes dan beberapa orang tentera British dari rejimen ke-10 terbunuh.

DATO' MAHARAJALELA BERUNDUR KE SAYONG

Setelah beberapa kali serangan ke atas kubu Pasir Salak gagal akhirnya tentera British berjaya mengalahkan hampir 800 pejuang Melayu yang bertahan di kubu tersebut pada 12 Disember 1875. Kubu Pasir Salak, masjid dan beberapa kampung sekitar kubu tersebut dibakar oleh tentera British melalui arahan William Jervois. Lalu Datuk Maharaja Lela dan pengikutnya mula berundur ke Sayong.

Sewaktu sedang memburu Dato Maharaja Lela serta pejuang Melayu yang lain, tentera British telah diserang hendap di Kota Lama Kanan pada 4 Januari 1876. Beberapa orang tentera British termasuk pegawai tinggi British Brigadier H.J Hawkin terbunuh dalam serangan tersebut. Namun pejuang-pejuang Melayu akhirnya berundur setelah tidak dapat bertahan berhadapan dengan serangan meriam dan roket.

KAMPUNG-KAMPUNG DIBAKAR

Kampung Kota Lama Kanan kemudiannya dibakar oleh tentera British. Dari Kampung Kota Lama hingga ke Enggor, semua kampung yang dilalui tentera British telah dimusnahkan meskipun pejuang-pejuang melayu tidak berlindung di kampung tersebut. Pertempuran sengit di Kampung Kota Lama Kanan merupakan pertempuran hebat terakhir diantara orang Melayu dengan pihak tentera British.

Selepas peperangan ini tiga pembunuh J.W.W Birch akhirnya berjaya ditangkap oleh tentera British pada 17 Februari 1876. Mereka ditahan sementara menunggu tarikh untuk dibicarakan. Raja Ismail yang menyerah diri kepada Sultan Kedah pada awal Mac telah diserahkan kepada pihak British di Pulau Pinang.
Pada 21 Julai 1876 Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles dan Raja Ismail dibuang negeri ke Singapura. Perbicaraan di Matang bagi menentukan nasib pembunuh J.W.W Birch berlangsung pada 14 hingga 22 Disember 1876.

DATO' MAHARAJALELA DIHUKUM GANTUNG

Keputusan mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman kepada kesemua yang ditangkap kerana didapati bersalah membunuh pegawai British. Akhirnya pada 20 Januari 1877, Dato Maharaja Lela, Si Puntum dan Pandak Endut digantung sampai mati di Kota Ngah Ibrahim, Matang.

Kepada semua pembaca marilah kita berhenti sejenak dengan sedekahkan doa kepada semua  pejuang-pejuang Melayu ini agar mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Pengorbanan mereka sangat hebat untuk kita kerana sanggup bertaruh nyawa demi bangsa, agama dan negeri ini...

WALLAHUALLAM
 

0/komen