Hospital Zionis kena bedilan


Sebuah hospital di selatan negara haram zionis terkena bedilan selepas Iran melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik hari ini, kata beberapa pegawai, manakala satu lagi letupan dilaporkan oleh perkhidmatan kecemasan di Tel Aviv.

“Hospital Soroka di Beersheba, selatan Israel  terkena bedilan peluru berpandu,” kata Kementerian Luar Israel.

Seorang jurucakap hospital melaporkan mengenai kerosakan pada hospital dan kerosakan besar lain di berbilang kawasan kemudahan itu.

“Kami sedang menilai tahap kerosakan  termasuk kecederaan. Kami meminta orang ramai untuk tidak datang ke hospital buat masa ini,” katanya.

Selain berkhidmat kepada penduduk di selatan Israel, hospital Soroka dikenali kerana merawat tentera pengganas zionis yang cedera di Gaza.

Siren berbunyi di seluruh Israel awal hari ini ketika tentera pengganas zionis berkata, pihaknya mengesan peluru berpandu yang masuk dari Iran, manakala wartawan melaporkan mendengar letupan kuat di Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

Seorang pegawai tentera pengganas  menambah, berpuluh-puluh peluru berpandu balistik telah dilancarkan ke Israel.

Menurut wartawan, letupan yang kedengaran di Baitulmaqdis sekitar pukul 7.10 pagi (waktu tempatan) adalah yang terbesar sejak konflik dengan Iran bermula, Jumaat lepas.

Perkhidmatan kecemasan Israel turut melaporkan impak ‘berhampiran bangunan kediaman’  di Tel Aviv, sambil menambah, tiada kecederaan dilaporkan.

Satu lagi kenyataan menyebut bahawa serpihan peluru berpandu mengenai tiga bangunan kediaman di tengah Israel  tanpa memberikan butiran lanjut. 
 

0/komen