Ibarat 'Cendawan Tumbuh Selepas Hujan'


Kenaikan harga emas di pasaran melepasi RM450 segram menjadi punca kemunculan ramai pemburu emas haram di daerah ini, sejak dua bulan lalu.

Ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan', apabila 'kerjaya' itu turut menarik minat golongan belia yang mengejar pendapatan lumayan hasil kegiatan pelombongan bijih berharga berkenaan.

Rezeki terpijak buat mereka apabila dikatakan mampu meraih sehingga RM2,000 sehari sekiranya kawasan pencarian diterokai mempunyai sumber emas yang banyak.

Namun kerjaya itu tidak semudah disangka berikutan mereka perlu bergadai nyawa ketika menyedut pasir di dasar sungai selain memerlukan penggunaan tangki oksigen ketika melakukan tugas itu.

Malah pencari emas ini juga perlu sentiasa berwaspada dengan pihak berwajib yang memantau aktiviti mereka kerana pekerjaan yang dilakukan mereka adalah salah di sisi undang-undang dan memerlukan lesen.

Seorang pencari emas yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil, 37, mengakui menceburi profesion itu sejak berlaku kenaikan harga emas mendadak tahun ini.

Menurutnya, ramai golongan belia sanggup menggadai nyawa dan mengambil risiko untuk menjadi pelombong emas haram tanpa memikirkan keselamatan diri.

Bagaimanapun katanya, pekerjaan memburu emas turut bergantung kepada nasib dan usaha.

"Memang benar, ada yang pernah dapat pendapatan sehingga RM2,000 dalam sehari sekiranya kawasan ditemui adalah 'lubuk' emas."

"Namun semuanya berisiko tinggi. Ini kerana kami perlu menyelam sedalam enam hingga lapan meter menggunakan tangki oksigen untuk menyedut tanah di dasar sungai."

"Proses untuk mendapatkan emas juga mengambil masa. Biasanya kami akan masuk ke dalam hutan dengan membawa peralatan khas," katanya.

Menurutnya, kerja dimulakan dengan proses menggali dan menyedut tanah menggunakan alat menyedut pasir dipanggil 'siput pasir'.

"Selepas tanah disedut, ia akan diletakkan di atas palong untuk mengasingkan tanah dan emas. Kebiasaannya palong ini dihasilkan sendiri menggunakan beberapa bahan termasuk alas kaki di dalam kereta," katanya.

Menurutnya, pasir emas akan melekat pada 'karpet' ini sebelum diletakkan diatas dulang bagi proses mendulang emas.

"Proses mendulang juga mengambil masa yang lama dan ada sesetengah pencari emas berkerja secara berkumpulan. Namun jika hujan berterusan kami akan menghentikan aktiviti mencari emas," katanya.

Menurutnya, dia mampu memperolehi antara dua hingga tiga gram emas sehari dengan bekerja bermula awal pagi hingga waktu petang.

"Saya tidak perlu mencari pembeli berikutan ada peraih emas akan datang untuk membeli logam emas ini pada harga antara RM350 hingga RM400 segram," katanya.

Aidil berkata, bagi pencari emas berpengalaman, mereka mampu mengenal pasti lokasi keberadaan emas dengan hanya melihat keadaan dan bentuk sungai.

 

0/komen