
Kebakaran hutan simpan di Jalan Genting, Kuala Kubu Baharu, di sini yang berlaku sejak kelmarin sudah merebak sehingga 22.6 hektar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 6.34, kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan laporan komander operasi, terdapat kebakaran hutan simpan anggaran berkeluasan 3.2 hektar.
Katanya, bagaimanapun kerja pemadaman tidak dapat dilakukan kerana tiada laluan masuk untuk ke lokasi kebakaran tersebut.
“Namun, jalan masuk telah ditemui sekitar pukul 10 malam (kelmarin) dan kebakaran melibatkan hutan simpan berkeluasan anggaran 20.2 hektar.
“Pemadaman akan dibuat kemudian kerana faktor keselamatan dan tiada punca air,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, setakat pukul 2 petang kelmarin, kebakaran hutan simpan itu sudah merebak dengan anggaran keluasan 22.4 hektar.
“Kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan dan menunggu unit udara JBPM untuk membantu pemadaman dari udara selain pasukan unit khas STORM digerakkan ke lokasi,” ujarnya.
Catat Ulasan