
Kehidupan manusia sering kali penuh dengan penilaian dan persepsi orang lain. Dalam usaha kita untuk menjadi yang terbaik, seringkali satu kesilapan kecil menghapuskan seratus kebaikan di mata manusia. Begitulah sifat manusia, lebih mudah mengingati kekurangan berbanding menghargai kelebihan. Namun, adakah itu bermakna kita harus berhenti berbuat baik?
Allah SWT mengingatkan kita dalam Al-Quran:
“Dan carilah apa yang Allah telah sediakan untukmu (kebaikan) di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.”
(Surah Al-Qasas, 28:77)
Sebesar mana pun usaha kita, kita tidak akan pernah sempurna di mata manusia. Hati manusia sentiasa berbolak-balik, mudah berubah oleh prasangka dan persepsi. Rasulullah SAW sendiri bersabda:
“Hati manusia itu berada di antara dua jari Allah, Dia membolak-balikkan hati sebagaimana Dia kehendaki.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Hakikatnya, manusia memang tidak pernah lepas dari kesilapan. Tetapi, Allah tidak menilai kita berdasarkan kesempurnaan yang mustahil dicapai. Sebaliknya, Allah melihat kepada niat dan usaha kita untuk memperbaiki diri. Bahkan, satu kesalahan yang disertai taubat lebih disukai oleh Allah daripada seribu kebaikan tanpa rasa syukur.
Sebagai manusia, penting untuk kita menetapkan batas dalam hidup. Jangan terlalu bergantung pada pujian manusia atau takutkan celaan mereka. Rasulullah SAW mengajarkan:
“Barang siapa yang mencari reda Allah dengan mengorbankan reda manusia, maka Allah akan mencukupkannya daripada pergantungan kepada manusia. Tetapi barang siapa yang mencari reda manusia dengan mengorbankan reda Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Hidup ini adalah perjalanan mencari reda Allah, bukan menagih pengiktirafan manusia. Jika kita berbuat baik, lakukannya kerana Allah, bukan untuk mendapatkan pujian atau penghargaan. Jika kita melakukan kesalahan, bertaubatlah dengan sepenuh hati kerana Allah Maha Pengampun.
Namun, ini tidak bermakna kita harus mengabaikan hubungan dengan manusia. Islam menganjurkan kita untuk berbuat baik, walaupun kebaikan itu tidak dihargai. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Kunci ketenangan adalah berbuat baik dengan niat yang ikhlas. Jangan biarkan hati kita kecewa apabila kebaikan kita tidak dihargai. Letakkan kebergantungan kita kepada Allah, kerana hanya Dia yang mampu menilai dengan keadilan yang sempurna.
Hidup ini bukan tentang bagaimana kita dilihat oleh manusia, tetapi bagaimana kita dilihat oleh Allah. Apa pun pandangan orang terhadap kita, yang lebih penting adalah hubungan kita dengan Tuhan. Jangan pernah berhenti berbuat baik hanya kerana manusia tidak menghargai.
"Lakukan segala sesuatu kerana Allah, dan biarkan manusia dengan pandangan mereka. Kerana pada akhirnya, yang mengangkat darjat kita adalah reda Allah, bukan pujian manusia."
Catat Ulasan