
Umat Islam pernah melalui zaman keemasan apabila pemimpin mereka berani dan bersatu. Antara tokoh paling agung ialah Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang dikenang kerana keberanian Baginda menewaskan tentera Salib.
Kejayaan Baginda membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 1187 menjadi simbol bahawa maruah Islam hanya dapat dipertahankan dengan kesatuan dan pengorbanan.
Sultan Salahuddin al-Ayyubi tidak sekadar pemimpin tentera. Baginda juga seorang negarawan yang tahu menguruskan diplomasi, ekonomi dan hubungan antara wilayah Islam. Baginda menyatukan Mesir, Syria, Yaman dan sebahagian besar kawasan maritim untuk membentuk kekuatan bersama.
Kemenangan Baginda dalam Perang Hattin menjadi titik penting. Dalam pertempuran itu, tentera Salib ditewaskan dengan strategi licik yang melemahkan moral mereka. Baginda memastikan tentera Islam memiliki disiplin dan keimanan yang kukuh sebelum turun ke medan perang.
Sebelum munculnya Sultan Salahuddin, dunia Islam juga melahirkan gerakan Al-Murabitun di Afrika Utara. Gerakan ini berjaya mempertahankan Andalusia daripada jatuh lebih awal ke tangan musuh. Mereka menekankan kekuatan akidah dan kepimpinan yang bersih daripada perebutan kuasa.
Dinasti Uthmaniyyah kemudian menjadi pelindung terbesar umat Islam selama hampir enam abad. Baginda Sultan-sultan Uthmaniyyah memerintah wilayah yang merangkumi tiga benua. Mereka menjaga Tanah Suci Mekah dan Madinah dengan penuh maruah, sekali gus mengekalkan Islam sebagai kuasa dunia.
Namun keadaan hari ini sangat berbeza. Negara Islam berpecah kepada blok-blok kecil yang lebih mementingkan kelangsungan kuasa masing-masing. Tiada satu pakatan besar yang mampu menyaingi kekuatan Barat atau kuasa besar lain.
Apabila Palestin diceroboh, Syria dibom atau Yaman dilanda perang, reaksi dunia Islam sekadar kenyataan kecaman. Pemimpin lebih gemar mengadakan persidangan dan mengeluarkan resolusi tanpa tindakan fizikal. Sementara itu penderitaan umat Islam terus berpanjangan.
Bandingkan dengan era Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Baginda tidak menunggu bantuan kuasa asing. Baginda sendiri mengatur strategi, turun ke medan dan memimpin tentera dengan penuh keyakinan.
Sultan Salahuddin juga dikenali dengan akhlak Baginda yang mulia. Walaupun menewaskan tentera Salib, Baginda tidak membalas dendam ke atas orang Kristian di Baitulmaqdis. Baginda memberi jaminan keselamatan kepada mereka, satu tindakan yang membuatkan musuh sendiri menghormati Islam.
Hari ini, negara Islam memiliki sumber minyak, tentera moden dan populasi yang besar. Namun semua kelebihan itu tidak membawa kekuatan apabila tiada kesatuan. Setiap negara lebih sibuk melindungi keluarga pemerintah dan kekayaan sendiri daripada memikirkan nasib umat.
Pangkalan tentera asing berdiri megah di tanah Arab. Kehadirannya menjadi tanda jelas bahawa dunia Islam masih dikawal kuasa luar. Situasi ini jauh daripada semangat kemandirian yang ditunjukkan oleh tokoh Islam terdahulu.
Ketika Sultan Salahuddin memimpin, Baginda menolak pengaruh luar yang cuba memecah belahkan umat. Baginda menyatukan puak yang bertelagah, sama ada dari Mesir, Syria atau wilayah lain. Perpaduan itu menjadi rahsia utama kemenangan.
Dinasti Uthmaniyyah juga membuktikan bahawa kekuatan Islam terletak pada gabungan wilayah yang bersatu. Mereka membina sistem pentadbiran yang mantap, tentera yang teratur dan jaringan perdagangan yang luas. Semua ini lahir daripada kesedaran bahawa umat tidak boleh dibiarkan berpecah.
Hari ini umat Islam seolah-olah hilang arah. Banyak negara Islam terjerat dengan hutang luar, konflik dalaman dan perebutan pengaruh. Setiap kali ada isu besar, tindakan yang diambil sekadar untuk menyelamatkan kedudukan pemerintah, bukan untuk mempertahankan umat.
Sultan Salahuddin al-Ayyubi menjadi contoh bahawa pemimpin sejati tidak gentar menghadapi risiko. Baginda sendiri hidup sederhana, tidak menimbun kekayaan walaupun menguasai wilayah besar. Baginda meninggal dunia tanpa meninggalkan harta melimpah kerana semua digunakan untuk jihad dan kepentingan umat.
Pemimpin Islam hari ini jauh daripada sifat itu. Mereka lebih selesa menandatangani kontrak dengan kuasa besar luar untuk mengekalkan sokongan politik. Sementara itu, rakyat dibiarkan berdepan kesusahan hidup tanpa pembelaan.
Kelemahan kepimpinan ini membuka ruang kepada Barat dan sekutunya untuk terus menekan umat Islam. Mereka tahu tiada pakatan besar yang akan bangkit mempertahankan P atau S*ria. Keadaan ini memberi lesen kepada musuh untuk terus bertindak tanpa rasa takut.
Namun sejarah mengajar bahawa tiada kuasa yang kekal. Empayar Rom, Mongol dan British akhirnya runtuh apabila terlalu angkuh. Dominasi Barat hari ini juga akan berakhir, persoalannya ialah adakah umat Islam bersedia untuk mengambil peluang itu.
Untuk bangkit semula, umat Islam memerlukan semangat seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Baginda menunjukkan bahawa keberanian, kesatuan dan pengorbanan mampu mengalahkan musuh yang lebih besar. Tanpa ciri-ciri ini, kita hanya akan menjadi penonton dalam sejarah moden.
Umat Islam juga perlu membina pakatan bersama, sama ada dalam bentuk ketenteraan atau ekonomi. Eropah membentuk NATO, manakala dunia Islam masih gagal menyatukan kekuatan walaupun berkongsi akidah yang sama. Selagi hal ini berlarutan, umat akan kekal lemah.
Kesatuan politik perlu disokong oleh kekuatan ilmu. Pada zaman kegemilangan Islam, universiti di Baghdad dan Cordoba menjadi pusat ilmu yang melahirkan ilmuwan besar. Sains, perubatan dan falsafah berkembang seiring dengan kekuatan ketenteraan.
Hari ini, umat Islam masih ketinggalan dalam pendidikan dan teknologi. Bajet pertahanan meningkat, tetapi pelaburan dalam ilmu terlalu rendah. Sedangkan ilmu ialah senjata sebenar yang membolehkan umat berdiri sama tinggi dengan kuasa besar.
Pemuda Islam perlu dididik dengan sejarah sebenar. Mereka harus kenal tokoh seperti Sultan Salahuddin, Al-Murabitun dan Uthmaniyyah. Tanpa kesedaran sejarah, generasi baharu tidak akan memahami betapa pentingnya kesatuan dan keberanian.
Peranan ulama juga tidak boleh diketepikan. Dalam sejarah, ulama memberi bimbingan kepada sultan dan khalifah untuk memastikan pemerintahan adil. Hari ini, suara ulama sering diketepikan apabila bercanggah dengan kepentingan politik.
Umat Islam perlu kembali kepada asas. Kesatuan hati, keikhlasan pemimpin dan keberanian menentang kezaliman adalah kunci kebangkitan. Tanpa itu, segala kekayaan minyak dan senjata moden hanya menjadi alat yang tidak berguna.
MasyaAllah, sejarah Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan tokoh besar Islam lain ialah cermin untuk umat. Mereka membuktikan maruah hanya dapat dipertahankan dengan keberanian dan kesatuan. Persoalannya, adakah kita sanggup mengulangi semangat itu atau rela terus diperhamba dalam dunia ciptaan musuh?
Catat Ulasan