
Surah Yunus ialah surah Makkiyyah yang banyak menekankan tauhid, kerasulan dan kepastian hari akhirat. Dalam surah ini, Allah gambarkan bagaimana manusia selalu ingat kepada-Nya bila ditimpa musibah, tetapi bila diselamatkan, kembali lalai seakan tiada apa berlaku.
Allah berfirman:
"Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan kesusahan itu, mereka kembali berbuat seolah-olah mereka tidak pernah berdoa kepada Kami untuk menghilangkan kesusahan yang menimpa mereka..." (Yunus: 12)
Ayat ini adalah cermin hidup kita hari ini. Masa sakit, susah, tersepit hutang, kita menangis merayu pada Allah. Tetapi bila senang dan bahagia, doa makin berkurang, solat jadi lewat, hati kembali alpa.
Allah juga tekankan bahawa dunia ini hanyalah ujian sementara, sedang akhiratlah tempat kekal. Dalam Surah Yunus ayat 24, Allah ibaratkan dunia seperti hujan yang menyuburkan bumi, tumbuh tanaman menghijau, kemudian tiba-tiba hancur bila datang perintah-Nya. Begitulah hidup – sekejap indah, lalu lenyap.
Pengajaran besar daripada Surah Yunus:
1. Jangan hanya ingat Allah bila ditimpa ujian.
2. Dunia hanyalah pinjaman, jangan terlalu leka.
3. Kejayaan sebenar ialah bila kita kembali kepada Allah dengan hati yang bersih.
Catat Ulasan