Hati Keras Susah Menangis


Ramai orang mengadu, hati terasa keras. Susah nak menangis ketika doa, bacaan Al-Quran rasa kering, zikir pun seakan hambar. Sebenarnya hati yang keras boleh dilembutkan, salah satunya dengan bangun di sepertiga malam untuk sujud kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam.” (Riwayat Muslim). Malam adalah waktu paling sunyi, ketika dunia tidur, doa seorang hamba lebih dekat untuk diangkat. Hati yang sering berhubung dengan Allah pada waktu ini akan jadi lembut, rendah diri, dan penuh rasa takut kepada-Nya.

Namun istiqamah qiyamullail bukan sesuatu yang mudah. Nafsu suka tidur, syaitan berusaha beratkan mata, dan dunia mengikat dengan letih siang hari. Ulama menasihatkan: barang siapa mahu istiqamah bangun malam, hendaklah dia kurangkan dosa pada siang hari. Dosa menggelapkan hati dan membuat kita berat untuk bangun malam.

Antara cara lain adalah tidur awal. Rasulullah SAW tidak suka berborak panjang selepas Isyak, kerana baginda mahu bangun malam dengan tenang. Jika kita biasakan tidur terlalu lewat, jangan hairan bila Subuh pun kita susah bangun. Mulakan dengan disiplin mudah — tidur awal, niat untuk bangun, dan doa sebelum tidur.

Qiyamullail tidak semestinya panjang dengan bacaan surah-surah yang banyak. Dua rakaat penuh ikhlas lebih berharga daripada rakaat panjang tetapi lalai. Mulakan dengan sedikit, asalkan konsisten. Ibn al-Mubarak berkata, “Amalan kecil yang berterusan lebih dicintai daripada amalan besar yang terputus.”

Bangun malam juga adalah saat paling mudah untuk kita menangis. Saat itu tiada siapa yang melihat, tiada riya, tiada sanjungan manusia. Hanya kita dan Allah. Tangisan yang keluar pada waktu itu adalah ubat hati paling mujarab.

Allah berfirman: “Sesungguhnya bangun malam adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan ketika itu lebih berkesan.” (Surah al-Muzzammil: 6). Ayat ini mengingatkan kita bahawa jiwa akan jadi lembut bila kita biasakan diri berdiri di hadapan Allah di waktu malam.

Jika hati kita keras, jika doa terasa kering, jangan putus asa. Mulakan dengan sujud malam. Mungkin pada awalnya kita hanya mampu lima minit, tetapi lima minit itu boleh mengubah seluruh jiwa kita.

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk istiqamah. Semoga malam-malam kita menjadi saksi, bahawa kita pernah cuba merayu di hadapan Allah dengan hati yang penuh rasa hamba.

 

0/komen