Adrynn berkongsi pengalaman pahit berdepan dengan pemandu sebuah syarikat e-hailing yang didakwanya bersikap biadab melayan penumpang.
“TENGAH –tengah hujan lebat, dia minta kami pergi ke keretanya yang diberhentikan sedikit ke depan dari tempat kami menunggu, basah kuyup dibuatnya,” demikian cerita seorang pelanggan mengenai pengalaman pahitnya menerima layanan buruk seorang pemandu perkhidmatan e-hailing.
Menceritakan kembali insiden tersebut, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Adrynn ini berkata, kejadian berlaku pada petang Jumaat lalu ketika dia dan dua rakannya mahu pulang ke rumah di Petaling Jaya selepas selesai bekerja di sebuah butik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut Adrynn, sebagaimana kelaziman sebelum ini, dia dan rakannya menggunakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing memandangkan masih bergelar pelajar yang sedang mengikuti latihan industri (internship).
“Pada petang itu, kami menempah perkhidmatan MyCar, masa itu lebih kurang pukul 6.30 petang. Tidak lama selepas menunggu, pemandu itu maklumkan dia dah sampai. Kami pun minta dia datang jemput di lokasi yang telah diberikan, namun dia kata tak boleh padahal dekat saja.
“Jadi mahu tak mahu, kami pun meredah hujan lebat untuk ke keretanya. Memang kuyuplah dibuatnya. Dalam keadaan hujan tu, pemandu wanita itu tidak memasang aircond, jadi kami minta dia pasangkan. Namun jawapan yang diterima sangat tak disangka, dia kata ini kereta awak ke?
“Kami masih boleh bersabar lagi. Ketika memulakan perjalanan, tiba-tiba dia cakap dengan kasar minta kami pakai tali pinggang keledar. Kawan saya yang duduk di hadapan kemudian kata padanya ‘boleh tak cakap elok-elok?’. Dengan tidak semena-mena, dia kata nak berhentikan kereta dan tinggalkan kami tepi jalan. Dia batalkan tempahan kami dalam aplikasinya,” ujar Adrynn.
Dalam keadaan sedikit tegang itu, Adrynn berkata rakannya bertegas enggan turun dari kereta kerana mereka sudah pun membuat tempahan dan membayar untuk perkhidmatan tersebut.
Bagaimanapun, pemandu wanita itu tetap memberhentikan keretanya di bahu jalan, hanya kira-kira beberapa minit selepas memulakan perjalanan.
“Memandangkan dia dah cancel tempahan, kami terpaksa turun. Rakan saya ketika itu tak sengaja tertutup pintu sedikit kuat. Rupa-rupanya, pemandu itu keluar kereta dengan tangannya memegang satu benda, tak pasti apa, tapi panjang. Sambil marah, dia libaskan benda itu dan terkena paha rakan saya.
“Masa itu memang dah tegang sebab kami bertekak di tepi jalan. Saya tanya kenapa sampai nak pukul orang? Dia jawab sebab kami biadab. Ketika itu memang ada beberapa pasang mata yang melihat, jadi pemandu ini mula takut dan dia salahkan kami. Padahal dia yang tidak beradab,” dakwa Adrynn.
Menurut Adrynn, pemandu itu kemudian cepat-cepat berlalu namun sempat melayangkan isyarat lucah kepada dia dan rakan-rakannya.
“Kami terpaksa tempah semula dan menghabiskan masa selama 45 minit sebelum pemandu baru MyCar sampai. Sementara menunggu, saya hubungi talian khidmat pelanggan syarikat e-hailing itu untuk buat aduan, namun sampai ke sudah mereka tak angkat telefon.
“Sehingga malam hari pun masih gagal hubungi mereka, jadi saya kongsi di laman sosial. Niat saya hanyalah untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada pengguna lain supaya lebih berhati-hati.
“Perkara seperti ini tak patut berlaku kepada pelanggan yang membayar untuk perkhidmatan mereka. Lagi pula kita ini berbilang kaum dan bangsa, jadi perlu ada sikap saling hormat menghormati. Langsung tak terniat nak tutup periuk nasi mereka, tapi ia sekadar perkongsian agar ambil pengajaran,” ujarnya.
“Malam keesokannya, selepas panggilan saya tak berjawab, MyCar ada tinggalkan komen pada perkongsian saya dan memohon maaf atas apa yang berlaku, selain memaklumkan akan menyiasat perkara itu.
“Apa yang saya harapkan, pemandu tersebut dikenakan tindakan sewajarnya agar insiden seumpama ini tidak lagi berulang. Saya berterima kasih kepada netizen yang prihatin dan tak sangka, ramai yang juga ada pengalaman yang sama.
“Apa yang boleh saya katakan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu hormat menghormati dan berbuat baik sesama kita. Dan kepada pemandu, lakukanlah pekerjaan dengan ikhlas, bukan melayan pelanggan seperti layanan yang saya dan rakan-rakan dapat seperti sebelum ini,” ujarnya mengakhiri bicara.
Staf Sambilan Biadab Terima Padah, Mycar Bertindak Segera

Susulan aduan daripada penumpang, MyCar mengambil keputusan untuk menggantung seorang pemandu wanita yang didakwa bersikap biadab baru-baru ini.
SYARIKAT e-hailing MyCar telah mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemandu yang didakwa bersikap biadab kepada penumpangnya sebagaimana yang tular baru-baru ini.
Ketua Bahagian Operasi MyCar, Ezuan Hadi dalam kenyataannya kepada mStar berkata, pemandu wanita terbabit sudah digantung, selepas pihaknya mendapatkan keterangan daripada kedua-dua pihak.
“Kami sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu berkenaan, dia sudah digantung dan perlu melalui prosedur re-education atau pembelajaran semula. Tempoh penggantungan itu terpulang kepada penilaian panel, yang akan mengambil kira beberapa perkara seperti track record, kesalahan kali ke berapa, dan sebagainya,” katanya.
Tambah Ezuan, keputusan tersebut diambil selepas pihaknya meneliti situasi kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu itu.
“Daripada keterangan kedua-dua pihak, selepas meneliti dari bottom line, tindakan pemandu yang meninggalkan penumpang itu tidak wajar. Itu yang kita buat keputusan dengan apa cara sekalipun, kita perlu menggantung pemandu tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ezuan menjelaskan pemandu wanita berkenaan bukan staf tetap MyCar, sebaliknya hanya menumpang platform e-hailing tersebut.
“Pemandu itu bukanlah staf, tetapi hanya pemandu yang secara sambilan menggunakan platform kami. Kebetulan pula pada ketika insiden itu terjadi, dia sedang menggunakan platform MyCar,” jelasnya.
Menurut Ezuan lagi, kes tersebut sudah dianggap selesai selepas pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan, selain mengemukakan permohonan maaf kepada penumpang bagi pihak pemandu tersebut.
“Pihak penumpang sudah menerima permohonan maaf dari kami. Sungguhpun begitu, kami bercadang untuk mempertemukan kedua-dua pihak bagi menyelesaikan salah faham dan isu berbangkit yang tercetus sebelum ini.
“Apa yang mahu ditekankan, ini adalah isu sikap. Tidak wajar mengaitkan MyCar secara keseluruhannya. Tidak boleh label MyCar sesuka hati hanya kerana sikap seorang pemandu. Apatah lagi kami sudah mengambil tindakan terhadapnya,” ujarnya lagi.
Isu itu menjadi tular selepas penumpang berkenaan berkongsi di laman sosial.
Beware of Gojo driver,Nissan Almera ALC 2276(white)...very rude and threatening
BalasPadamCatat Ulasan