Jaguar Dengan Sistem Pembatalan Hingar Dalam Kenderaan


Sistem pembatalan hingar aktif (ANC) pada fon telinga dan kepala sudah menjadi standard tahun ini. Jika aksesori audio premium tidak ditawarkan dengan ANC, ia secara automatik akan menerima kritikan. Dengan kematangan sistem ANC, ia kini secara perlahan-lahan mula ditawarkan pula di dalam kenderaan. Terkini Jaguar mula menawarkan sistem ANC pada Jaguar F-PACE, Jaguar XF and Range Rover Velar.

Sistem Active Road Noise Cancellation yang disertakan menggunakan teknologi Active Acoustics yang dibangunkan oleh Silentium. Menurut Jaguar pengurangan hingar sehingga 10 dB dan purata 3-4 dB boleh dinikmati dengan sistem ini. Seperti pada fon kepala, Active Road Noise Cancellation mendengar deruan bunyi sekeliling sebelum memancarkan bunyi gelombang pemusnah untuk meneutralkannya.
 

Selain bunyi, sensor di dalam kabin turut mengesan getaran yang menghasilkan bunyi yang kurang enak ketika memandu atau dipandu. Kekuatan sistem juga berubah bergantung kepada jumlah penumpang di dalam kabin.

Mungkin selepas ini seperti ANC pada fon kepala, ANC untuk kenderaan pula akan ditawarkan sebagai sesuatu yang normal. Menurut Jaguar tujuan utama sistem ini diperkenalkan kerana suasana kabin yang bising didapati memenatkan pemandu. Jika bunyi bising dikurangkan, pemanduan lebih selesa dapat dinikmati.

Selain Silentium, Bose dan Samsung juga telah membangunkan sistem pembatalan hingar untuk kegunaan kabin kereta.

0/komen