Xiaomi Mi 11 Ultra Dilancarkan

Xiaomi Mi 11 Pro telah diumumkan tetapi ia masih bukan model yang paling mercu ini. Ini dipegang oleh Xiaomi Mi 11 Ultra yang dipertingkatkan dengan kamera lebih mantap, bateri lebih berkuasa dan skrin sekunder pada bahagian belakang.

Dari segi spesifikasi peranti ini berkongsi spesifikasi yang sama seperti Mi 11 Pro tetapi perbezaan sebenar terletak pada sistem kamera yang dipertingkatkan serta skrin sekunder pada bahagian belakang. Ini bermakna skrin 6.81″ AMOLED QHD+ 120Hz adaptif dengan Dolby Vision, cip Snapdragon 888 dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan sehingga 512GB. Bateri 5000 mAh yang dibekalkan menyokong pengecasan pantas berwayar dan nirwayar 67W serta pengecasan berbalik 10W.


Sensor kamera utama ialah 50MP ISOCELL GN2 pada lensa sudut lebar, 48MP IMX586 pada lensa sudut lebar dan 48MP IMX586 pada lensa telefoto. Kemampuan telefoto sehingga 120X dapat dinikmati menerusi sistem periskop. Pada waktu yang sama ia turut dilengkapi sensor dToF untuk pemfokusan lebih pantas. Pada bahagian hadapan pula kamera swafoto 20MP disertakan.

Kesemua kamera utama mampu merakam video pada resolusi maksimum 8K 30p. Menurut Xiaomi lagi kemampuan kamera 11 Ultra adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kamera digital Sony RX100 VII yang dilengkapi sensor yang bersaiz fizikal lebih besar.


Pada bahagian bonggol kamera yang agak besar Mi 11 Ultra terdapat skrin sekunder kecil yang membolehkan ia memaparkan waktu, tahap bateri, AOD, notifikasi dan mengambil gambar swafoto. Bercakap tentang panel belakang, ia diperbuat daripada bahan seramik dalam warna hitam ataupun putih. Walaupun dengan pelbagai ciri menarik ini peranti masih lagi mempunyai kemampuan kalis air IP68.

Di China Xiaomi Mi 11 Ultra dilancarkan pada harga bermula dari RMB 5999 (~RM 3788) untuk versi 8/256GB dan meningkat ke RMB 6999 (~RM 4420) untuk versi 12/512GB dengan kemasan seramik yang kelihatan seperti batuan marmar..

0/komen