Krew Mengelilingi Bulan Diumumkan


Misi Artemis I berjaya dilancarkan tahun lalu bagi menguji sistem roket SLS yang akan melancarkan manusia kembali ke bulan. Dengan kejayaan Artemis I, misi Artemis II pula akan dilancarkan pada tahun 2024 kali ini dengan anak kapal manusia.

NASA dan Agensi Angkasa Kanada (CSA) telah mengumumkan empat anak kapal misi Artemis II. Ia terdiri daripada Komander Reid Wiseman, juruterbang Victor Glover, Pakar Misi 1 Christina Hammock Koch, dan Pakar Misi 2 Jeremy Hansen. Apabila dilancarkan kelak, Artemis II akan menjalankan misi selama 10 hari mengelilingi bulan sebelum kembali ke bumi.

Ketika misi Artemis I Disember lalu, kapsul Orion hanya membawa patung dengan ia dilengkapi pelbagai sensor bagi memastikan misi Artemis II selamat dilakukan dengan krew manusia.

Kemampuan sistem sokongan hidup kapal angkasa Orion akan diuji sepenuhnya dalam misi Artemis II. Ia akan menjadi kali pertama sejak lebih 50 tahun manusia kembali mengorbit bulan. Ia juga akan menjadi kali pertama seorang angkasawan wanita, angkasawan berkulit hitam dan warga Kanada terlibat dengan misi ke bulan. Jika semua berjalan lancar, manusia akan kembali mendarat ke permukaan bulan menjelang 2025.
 

0/komen