Sony ZV-1 II Dilancarkan


Sony ZV-1 II telah diumumkan secara rasmi sebagai satu lagi pilihan baharu bagi kamera kompak memfokuskan kepada rakaman video vlog. Perbezaan terletak pada sokongan zum sudut ultra lebar di antara 18-50mm f1.8-4 yang lebih luas berbanding generasi sebelum ini. Ini menjadikannya sesuai untuk pelbagai adegan sama ada landskap atau swafoto berkumpulan, namun tiada fungsi penstabilan optik disertakan.


Sony ZV II juga menggunakan sensor 12.1 Megapixel CMOS Exmor RS dengan cip pemproses imej BIONZ XR. Binaan tubuh dan kawalan juga masih sama termasuk sokongan skrin yang boleh diputar. Namun tiada sokongan pemidang kamera elektronik disertakan.

Sebahagian besar kemampuan rakaman video juga tidak berubah dengan rakaman maksimum 4K/30fps 8 bit. Cumanya tetapan mod sinematik kini ditambahbaik dengan tambahan bar hitam di bahagian atas dan bawah bingkai rakaman, di samping turut memperkenalkan fungsi pratetap warna gaya filem yang membenarkan pengguna memilih ton dan gaya secara terus semasa rakaman.



Ia juga mempunyai mikrofon terbina dengan tiga mod pemilihan bunyi sama ada hadapan, belakang dan automatik dengan kesan audio yang boleh dilaras bergantung pada adegan rakaman. Kamera ini telah disenaraikan di laman web rasmi Sony Malaysia tanpa harga jualan yang didedahkan buat masa ini.

0/komen