Samsung Galaxy Z Flip5 Dilancarkan


Samsung Galaxy Z Flip5  turut dilancarkan bersama Samsung Galaxy Z Fold5. Ia menerima lebih banyak kemas kini pada rekaan jika dibandingkan dengan abangnya yang lebih besar. Perubahan pada engsel yang kini melipat skrin dalaman ke bentuk titisan air membolehkan peranti ditutup rapat sepenuhnya dilakukan buat pertama kali sejak dilancarkan.


Skrin luar kini diberi nama Flex Window dengan saiz 3.4″ Super AMOLED dengan kadar segar semula 60Hz. Dengan skrin lebih besar mesej boleh dibaca dan dibalas tanpa peranti dibuka terlebih dahulu kerana sebuah papan kekunci penuh akan terpapar pada skrin.


Terdapat beberapa aplikasi lain disokong secara natif pada Flex Window seperti Youtube, Messages, WhatsApp dan Netflix. Apabila skrin dibuka, kandungan YouTube yang ditonton akan terus dimainkan pada skrin dalam sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz. Sekali lagi tiada perubahan pada skrin dalaman yang mengekalkan permukaan kaca tahan lasak UTG.


Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy, memori 8GB LPDDR5X, storan sehingga 512GB UFD 4.0 dan bateri 3700 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 25W serta nirwayar 15W. Dari segi kamera utama lensa sudut lebar 12MP OIS dan lensa ultra lebar 12MP digunakan di belakang dipadankan dengan kamera swafoto 10MP di hadapan. Samsung mengekalkan sensor yang digunakan Z Fold4 pada Z Fold5 dengan penambahbaikan dilakukan pada perisian sahaja.


Ia melepas piawai IPX8 yang membolehkan ia direndam di dalam air. Flex Mode pula membolehkan peranti dilipat 90 darjah untuk mengambil video atau gambar tanpa cagak khas. Ciri ini turut boleh digunakan pada Flex Window. Sistem operasi ialah One UI 5.1.1 berasaskan Android 13. Samsung memberikan kemas kini empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti kepada Z Flip5.


Beberapa aksesori baharu turut dihasilkan seperti kerangka lutcahaya degan panel NFC. Panel NFC mempunyai tema seperti Marvel, Disney dan Pringles. Apabila panel dipasang pada tubuh Z Flip5, Flex Windows akan memaparkan tema khas yang seragam dengan tema pada panel NFC ini. Panel-panel ini akan dijual secara berasingan dengan kerjasama beberapa jenama terkemuka.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Flip5 ialah seperti di bawah dalam warna Mint, Lavender, Cream dan Graphite bermula 18 Ogos 2023. Warna Gray, Blue, Green dan Yellow pula hanya ditawarkan eksklusif menerusi kedai atas talian Samsung Malaysia.

Samsung Galaxy Z Flip5 (256GB) – RM 4,499
Samsung Galaxy Z Flip5 (512GB) – RM 4,999

0/komen