DSOC (silinder dengan penutup emas) pada sisi kapal angkasa Psyche
Untuk berhubungan dengan proba angkasa seperti Voyager, teknologi komunikasi radio digunakan. Tetapi dengan manusia ingin mengembara lebih jauh, sistem komunikasi yang lebih pantas serta menampung data yang tinggi adalah diperlukan. Untuk merealisasikan impian ini, NASA telah memulakan eksperimen untuk sistem komunikasi Deep Space Optical Communication (DSOC) berasaskan laser.
DSOC telah diletakkan pada kapal angkasa Psyche yang dilancarkan pada 13 Oktober lalu. Pada 14 November, isyarat laser dari Psyche dihantar ke bumi yang pada waktu tersebut terletak 16 juta kilometer jauhnya. Isyarat ini berjaya diterima dan menjadikannya isyarat komunikasi laser paling jauh pernah dilakukan bersamaan 40 kali jarak antara bumi dan bulan.
Tempoh masa yang diambil untuk isyarat tiba ke bumi adalah 50 saat. Lebih banyak ujian penghantaran isyarat ujian ini akan dilakukan sekali seminggu. Kemuncak ujian apabila Psyche menghampiri Marikh yang terletak 377 juta kilometer dari bumi.
Dalam situasi ini, isyarat laser akan mengambil masa 20 minit untuk sampai. NASA kemudian akan menghantar semula isyarat ke Psyche. Ini adalah proses yang rumit kerana kedudukan Psyche yang telah berubah daripada kedudukan semasa isyarat pertama dihantar.
Sistem komunikasi radio semasa mempunyai kelajuan penghantaran data pada kadar 5.2 Mbps sahaja yang terlalu perlahan untuk keperluan komunikasi antara bumi dan koloni Marikh di masa hadapan. DSOC ingin meningkatkan kadar penghantaran data antara 10-100 kali ganda bagi membolehkan perhubungan video masa nyata dan penghantaran data besar dengan lebih pantas.
Catat Ulasan