SpaceX melancarkan kapal angkasa Starship mereka untuk kali kedua selepas kegagalan misi pertama April lalu. Seperti misi pertama, misi kedua ini turut berakhir dengan kemusnahan roket Super Heavy dan juga Starship. Namun kali ini ia berjaya dilancarkan lebih tinggi sebelum mengalami kegagalan.
Starship dan Super Heavy juga berjaya menjalani proses perpisahan tahap pertama. Super Heavy kemudiannya meletup secara mengejut ketika dalam perjalanan turun semula ke permukaan laut Teluk Mexico. Starship kemudian meneruskan perjalanan ke ketinggian sasaran tetapi kemudian hubungannya dengan Starbase terputus dan ia dipercayai turut telah meletup .
SpaceX mengatakan misi kali ini masih dilihat sebagai kejayaan kerana kesemua 33 enjin Raptor pada Super Heavy menyala semasa pelancaran. Pada misi pertama, tujuh enjin gagal beroperasi disebabkan kerosakan apabila puing-puing yang dilontarkan kuasa enjin menghentamnya.
Kesemua enam enjin pada Starship juga beroperasi selama enam minit selepas berpisah daripada Super Heavy. Analisa telemetri masih sedang dilakukan oleh SpaceX untuk melihat apakah sebenarnya yang berlaku kepada Starship yang menyebabkan hubungan terputus dengan Starbase.
Starship ialah kapal angkasa yang akan digunakan untuk misi Dear Moon dan Misi Artemis ke bulan. Ia perlu diuji sepenuhnya sebelum boleh digunakan untuk kedua-dua misi ini. Kegagalan Starship April tahun ini menimbulkan spekulasi Misi Artemis mungkin di tangguh ke 2026 – setahun lewat daripada jadual asal.
Catat Ulasan