
Sistem senjata laser bukan lagi sekadar imaginasi sains fiksyen atau kartun kanak-kanak. Ia telah dibangunkan beberapa negara sejak lebih sedekad yang lalu sebagai alternatif kepada senjata konvensional yang menelan kos yang tinggi. Korea Selatan telah mengumumkan mereka akan menjadi negara pertama yang menggunakan sistem laser bagi menangkis serangan dron dari Korea Utama.
Sistem laser ini dibangunkan oleh Hanwha Aerospace sejak 2019 dengan program ini menelan belanja KRW87 bilion (~RM 295 juta). Kos untuk setiap tembakan juga murah sekitar KRW2000 (~RM 6.80) yang sama seperti kos secawan kopi premium di Malaysia. Korea Selatan berharap sistem ini akan mula beroperasi sebelum penghujung 2024.
Serangan dron dari Korea Utara yang berlaku baru-baru ini mempercepatkan keperluan untuk sistem penangkis diaktifkan segera. Dalam serangan yang dilakukan bulan lalu, pesawat tempur dan peluru berpandu yang mahal digunakan untuk menembak jatuh dron yang harganya murah.
Selain Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Israel juga mempunyai sistem pertahanan laser yang serupa. Israel sebelum ini mendakwa sistem kubah laser mereka akan beroperasi pada tahun 2022 tetapi sehingga kini ia masih belum berlaku. Kos sistem Iron Beam oleh Elbit System adalah lebih mahal iaitu sekitar RM15 untuk setiap tembakan.
Catat Ulasan