TV Untuk Perniagaan dan E-Paper Berwarna


Samsung telah melancarkan TV untuk perniagaan dan yang menggunakan teknologi E-ink berwarna pertama mereka. Kedua-dua TV ini direka untuk digunakan di dalam restoran, kedai dan juga pejabat dengan keperluan berbeza dengan komersial yang ditawarkan untuk kegunaan di rumah.


Samsung Color E-Paper ialah TV yang direka untuk menggantikan bahan pengiklanan menggunakan kertas di dalam kedai. Ia menggunakan teknologi E Ink Spectra 6 yang mengekalkan imej terakhir dipaparkan walaupun selepas tiada sumber elektrik dipasang. TV ini sebesar 32″ dengan resolusi QHD (2,560 x 1,440) dan boleh memaparkan 60,000 warna.

Menerusi aplikasi khas, pemilik boleh mengawal kandungan yang ingin dipaparkan dan menjadualkan bila imej perlu ditukar untuk mempelbagaikan pengiklanan di dalam premis perniagaan. Setiap TV hadir dengan storan sehingga 8GB dan sambungan USB-C.

TV kedua yang diumumkan ialah keluarga Samsung Business TV BED dalam saiz 43, 50, 55, 60, 65, 70, 75 or 85 inci dengan resolusi UHD. Dengan kepelbagaian saiz, Samsung Business TV BED direka untuk digunakan di restoran, premis pendidikan, perniagaan kecil dan juga pejabat.

Ia menyokong pelbagai sistem pengurusan kandungan seperti SmartThings Pro dan Samsung VXT yang telahpun ditawarkan kepada pelanggan komersial. Di samping itu, ia turut boleh dikawal menggunakan aplikasi khusus Samsung Business TV.



Serentak dengan pengumuman dua model baharu TV untuk perniagaan, Samsung turut mengumumkan platform baharu SmartThings Pro. Seperti SmartThings untuk orang ramai, SmartThings Pro digunakan untuk bukan sahaja mengawal peranti-peranti internet berhubung Samsung tetapi juga produk pintar keluaran Cisco, Aqaea dan Quividi.

Samsung menyasarkan penggunaan SmartThings Pro oleh organisasi perniagaan seperti perhotelan. Seorang pengendali boleh mengawal pelbagai peranti pintar menggunakan SmartThings Pro secara setempat untuk mengawal lampu, TV pintar, dan peralatan elektrik tanpa perlu hadir secara fizikal.

komen