Misi 8 Hari Angkasawan Starliner Sah Berlarutan


Barry Wilmore dan Sunita William yang merupakan angkasawan NASA yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan kapal angkasa Starliner pada 6 Jun lalu. Menurut perancangan asal, misi ini sepatutnya hanya selama 8 hari. Tetapi kerana pelbagai isu pada Starliner, NASA mengesahkan dua angkasawan ini tidak akan kembali ke bumi sebelum Februari 2025 menyebabkan mereka “tersadai” di ISS sehingga sekurang-kurangnya 266 hari.

Masalah pada Starliner mula dikesan ketika ia cuba berlabuh ke ISS. Lima daripada 28 enjin penolak gagal berfungsi memaksa ia dilabuhkan menggunakan sistem manual. Kemudian kebocoran dikesan pada tangki helium yang membekalkan tujahan kepada enjin penolak.

NASA akan cuba mengembalikan mereka menggunakan kapal angkasa SpaceX Dragon yang diubahsuai untuk membawa empat krew dan kargo tambahan. Sementara itu kapsul Starliner akan dikembalikan ke bumi bulan depan tanpa sebarang krew.

Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.

Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion. Tujuan asal program kapsul komersial ini dibangunkan ialah untuk mengurangkan kos menghantar angkasawan ke ISS. Tetapi kini kos untuk seorang angkasawan menggunakan Starliner ialah sekitar $90 juta yang jauh lebih mahal berbanding $55 juta menggunakan Crew Dragon.

Setiap kapsul Starliner boleh membawa sehingga 7 orang angkasawan dengan ia boleh digunakan sehingga 10 kali. NASA menggunakan dua sistem berbeza bagi memastikan jika satu sistem menghadapi masalah, terdapat sistem sandaran.
 

0/komen