Nothing Phone (2a) Plus Kini Di Malaysia


Nothing Phone (2a) Plus akhirnya memasuki pasaran Malaysia selepas ia dilancarkan di peringkat global pada Julai lalu. Ia adalah sekadar model kemas kini untuk Nothing Phone (2a) dengan perubahan dilakukan pada cip pemproses, kamera swafoto dan pengecasan yang lebih pantas.

Nothing Phone (2a) Plus dilengkapi skrin 6.7″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadakan pula dengan cip Mediatek Dimensity 7350 Pro, memori 12GB RAM, storan dalaman 256GB dan bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 50W. Masih tiada sokongan pengecasan secara nirwayar pada peranti ini.


Dwi-kamera digunakan pada bahagian belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan lensa ultra sudut lebar 50MP. Di hadapan pula sensor 50MP digunakan di kamera swafoto. Kamera boleh merakam video pada resolusi 4K 30FPS dan terdapat sistem OIS pada lensa sudut lebar.

Terdapat juga pengimbas cap jari di bawah skrin, pembesar suara stereo, NFC, melepasi piawaian kalis air serta debu IP54 dan sistem lampu Glyph pada panel belakang. Nothing Phone (2a) Plus dijual di Malaysia pada harga RM1,999 sebuah dalam warna hitam dan kelabu. Ini adalah RM300 lebih mahal berbanding Nothing Phone (2a) yang menggunakan cip Dimensity 7200 Pro.

0/komen