Sony telah membuat kejutan dengan memperkenalkan kemas kini kepada konsol mereka dengan penawaran model “Pro”, atau dinamakan PlayStation 5 Pro (PS5 Pro). Konsol ini akan menawarkan prestasi grafik lebih baik berbanding konsol PlayStation 5 yang sudah berusia hampir empat tahun.
PlayStation 5 Pro memfokuskan kepada tiga teras utama, iaitu GPU lebih berkuasa, kemampuan Ray Racing dipertingkatkan, dan juga penggunaan kecerdasan buatan (AI )dalam menawarkan resolusi lebih baik untuk permainan yang dinamakan PlayStation Spectral Super Resolution. Ciri lain yang disertakan bersama PS5 Pro ini adalah sokongan PS5 Pro Game Boost untuk membolehkan pemain memainkan pelbagai permainan PS4 sedia ada pada kualiti yang lebih baik.
GPU pada PS5 Pro mempunyai 67% lebih banyak Compute Unit dan juga memori yang 28% lebih pantas. Kesannya ialah kemampuan “rendering” 45% lebih pantas dan memastikan majoriti permainan boleh mencapai sasaran 60FPS walaupun dalam mod mementingkan kuasa grafik. Pada PS5, sejak dari awal mod mementingkan grafik menghadkan permainan ke mod 30FPS sahaja.
Secara kasar, melalui pelbagai demo yang dipertontonkan grafik 4K dapat dipaparkan lebih tajam, kadar bingkai tinggi boleh dinikmati dan kesan khas pantulan objek telah diaktifkan.
Sony mula menawarkan PlayStation 5 Pro ini bermula 7 November 2024 ini pada harga USD$700 (~RM 3040) dengan storan SSD 2TB tetapi tanpa pemacu cakera Blu-ray terbina. Pemacu BD berasingan boleh dibeli pada harga RM 529 dan adalah yang sama seperti yang ditawarkan pada model kemas kini PS5 sebelum ini .
Catat Ulasan