
DJI telah melancarkan dron yang mudah dilihat dan dibawa ke mana-mana menerusi model baharu Flip. Kombinasi rekaan yang praktikal bersama keupayaan pengimejan berkebolehan tinggi menjadikan Flip sesuai dijadikan pilihan utama pencipta kandungan. Khususnya mereka yang mencari sebuah dron yang lebih ringan dan mudah alih selain daripada DJI Neo yang diumumkan sebelum ini.

Dron yang bersaiz tapak tangan ini juga mempunyai berat kurang daripada 249 gram dan pelindung kipas penuh yang boleh dilipat dengan mudah. Kameranya boleh mengambil gambar 48MP dan video 4K menggunakan sensor CMOS 1/1.3 inci. Selain itu mempunyai sehingga enam mod penerbangan termasuk Dronie, Circle, Rocket, Spotlight, Helix dan Boomerang.

Pengalaman bertambah baik dengan ciri penjejakan subjek berasaskan AI terbina yang sepatutnya mampu mengekalkan subjek dalam bingkai dengan sebaiknya. Fungsi Hyperlapse pada dron juga menyediakan sehingga empat pilihan arah termasuk Free, Circle, Course Lock dan Waypoint di samping kemampuan merakam video timelapse pada resolusi 4K secara mendatar atau 2.7K secara menegak.

DJI Flip juga mampu terbang pada kelajuan 26mph dalam Sport Mode. Selain itu mempunyai 3D Infrared Sensing System bagi tujuan keselamatan lebih baik walaupun diterbangkan dalam cuaca yang melampau. DJI Flip boleh diterbangkan dengan atau tanpa alat kawalan jauh. Apabila dipasangkan dengan alat kawalan jauh DJI RC-N3 atau RC 2, isyarat penghantaran video dengan jarak jauh boleh menyokong resolusi 1080P/60FPS sehingga 13km jauhnya.

Ia juga boleh digunakan bersama aplikasi DJI Fly atau dikawal melalui arahan suara untuk pengalaman penerbangan bebas tangan. Apabila disambungkan ke telefon pintar pula ia boleh menangkap audio dengan bunyi hingar yang ditapis secara automatik. Bateri disertakan boleh berfungsi dengan masa penerbangan sehingga 31 minit. DJI Flip juga tidak mempunyai storan dalaman terbina yang bermakna pengguna memerlukan kad microSD berasingan


DJI Flip dijual di Malaysia bermula RM1,679 untuk dron sahaja. Kemudian meningkat kepada RM2,399 berserta DJI RC 2 dan RM2,999 dengan tambahan dua bateri diberikan bersama.
Catat Ulasan