Isu Batu Puteh kembali menjadi bualan ramai. Ada yang mendakwa bahawa puncanya ialah Sultan Johor “menjual” Singapura pada tahun 1819. Mereka kata Temenggong Abdul Rahman (moyang Sultan Johor sekarang) telah “memajak” Singapura kepada British. Beberapa minggu yang lepas, seorang tokoh besar juga mengungkit pasal cerita ini. Benarkah dakwaan ini?
Dakwaan ini sebenarnya lebih kepada retorik politik. Ia sekali lagi menunjukkan mentaliti hitam-putih yang malas meneliti asbab dan usul di sebalik kejadian politik antarabangsa. Asal perjanjian je, “jual”.
Kalau tiada perjanjian dengan British pada tahun 1819 pun, Singapura tidak semestinya selamat, malah kebarangkalian besar negeri bernama Johor pun tidak akan wujud lagi. Sebelum kita menggunakan istilah “menjual”, kita perlu memahami latar belakang kejadian tersebut yang melibatkan persaingan kuasa Belanda-British.
Ketika itu, Belanda melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) telah pun menguasai Empayar Johor, dan Singapura adalah di dalam lingkungan pengaruh mereka. Asal usul ceritanya: selepas Melaka jatuh kepada tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah telah lari ke Johor dan mendirikan Kesultanan Johor. Misi utama Kesultanan Johor adalah untuk menawan balik Melaka daripada Portugis.
Berdasarkan prinsip “musuh kepada musuh saya adalah kawan saya” (“my enemy’s enemy is my friend”), Johor telah membentuk pakatan dengan musuh Portugis iaitu Belanda pada tahun 1606. Mereka berjaya mengalahkan Portugis pada tahun 1641, namun Belanda mungkir janji dan tidak mahu menyerahkan Melaka.
Pada tahun 1699, berlaku peristiwa Sultan Mahmud Syah II mangkat dijulang. Sultan Mahmud tidak mempunyai waris. Pertabalan Bendahara sebagai Sultan tidak diakui oleh Orang Laut dan perang tercetus di antara Orang Laut dan Bugis yang pro-Bendahara. Bugis menang dan berjaya mendominasi pemerintahan Johor sejak tahun 1722. Johor di bawah penguasaan Bugis telah berjaya membangunkan Riau sebagai pusat perdagangan alternatif kepada Melaka. Belanda marah kerana niatnya untuk memonopoli perdagangan Nusantara tidak berjaya. Lalu Belanda menghasut Sultan untuk mengusir Bugis yang dilihat terlalu berkuasa. Akhirnya Belanda telah menewaskan Bugis pada tahun 1784 dan mendirikan hegemoni (penguasaan mutlak) Belanda ke atas Johor.
Hegemoni Belanda tergendala seketika dengan tercetusnya Perang Revolusi Perancis dan kemudian Perang Napoleon di Eropah (1792-1815). Belanda di Eropah kira negara ciput cap ayam, jadi ia telah ditawan oleh Perancis dengan mudah pada tahun 1795. Raja Belanda lari ke Britain meminta perlindungan British, maka British mengambil peluang untuk “sapu” jajahan Belanda di Kepulauan Melayu (termasuk Melaka). Namun selepas Napoleon dikalahkan pada tahun 1814, Belanda dipulihkan dan British pun bersetuju untuk memulangkan jajahan Belanda menerusi Perjanjian Anglo-Belanda 1814.
Belanda kembali ke Johor pada tahun 1818 dan menjadi semakin melampau. Belanda mahu memonopoli perdagangan Riau yang merupakan sumber kekuatan Johor, jadi ia memaksa Sultan Johor untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda 1818 yang memberikan Belanda hak monopoli ke atas pelabuhan di Riau.
Walaupun secara “gentleman” British telah memulangkan hak Belanda, namun ia masih sangat memerlukan sebuah pelabuhan yang strategik di Kepulauan Melayu. Selepas membuat kajian, dua pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) iaitu Stamford Raffles dan William Farquhar telah mengenalpasti Singapura sebagai pelabuhan yang sesuai.
Johor ketika itu terbahagi kepada 4 wilayah yang dipertanggungjawabkan kepada pembesar tertentu: Muar di bawah Raja Temenggung Muar, Pahang di bawah Bendahara, Riau di bawah Yang Dipertuan Muda (Bugis) dan Singapura di bawah Temenggong Johor. Sultan Johor bersemayam di Lingga. Raffles melihat peluang pada Temenggong untuk membolehkan British bertapak di Singapura manakala Temenggong melihat peluang pada Raffles untuk membebaskan Johor daripada cengkaman Belanda. Kebetulan pula berlaku krisis pewarisan takhta (lagi!) ketika itu di antara Tengku Hussain dan Tengku Abdul Rahman, maka Raffles telah menyatakan sokongan kepada Hussain dan menabalkan Hussain sebagai Sultan Johor di Singapura. Belanda dan Bugis pula menyokong Tengku Abdul Rahman. Kalau pada zaman moden, itu namanya konflik proksi.
Raffles dan Farquhar mendarat di Singapura pada 29 Januari 1819. Pada 6 Februari 1819, sebuah perjanjian ditandatangani di antara Sultan Hussain, Temenggong dan Raffles. Raffles membayar pencen tahunan kepada Sultan Hussain (5,000 Dolar Sepanyol) dan Temenggong Abdul Rahman (3,000 Dolar Sepanyol), tetapi Temenggong masih mempunyai hak ke atas Singapura. British hanya membuka loji (“factory”), tanah masih hak Temenggong. Sultan Hussain membina istana dan bersemayam di Kampong Glam.
Cuba lihat catatan John Crawfurd (Residen Singapura 1823-1826) mengenai Perjanjian 1819:
“little more than a permission for the formation of a British factory….There was in reality no territorial cession giving a legal right of legislation….The native chief was considered to be the proprietor of the land, even within the bounds of the British factory”
Dan berbeza dengan Belanda, British tidak mengenakan cukai ke atas kapal dagang yang melalui Singapura. Jadi secara asalnya, kerjasama Raffles-Temenggong dilihat sebagai kerjasama yang adil dan saksama. Ia tidak melibatkan sebarang penggadaian hak Singapura demi mendapatkan pulangan dalam bentuk kewangan, atau dengan kata lain, “jual”.
Belanda sangat marah dengan tindakan Raffles yang menaikkan bendera British di Singapura yang dianggap wilayahnya. Nampak? Tindakan Raffles dan Temenggong sebenarnya telah menyelamatkan Johor dan Singapura daripada hegemoni Belanda.
Orang yang benar-benar merampas Singapura ialah John Crawfurd, bukan Raffles. Crawfurd menggantikan Farquhar sebagai Residen Singapura pada hujung 1823. Pada 17 Mac 1824, sebuah perjanjian bernama Perjanjian Anglo-Belanda 1824 telah ditandatangani antara British dan Belanda di London untuk menyelesaikan persengketan British dan Belanda. Perjanjian tersebut telah menggariskan lingkungan pengaruh British dan Belanda masing-masing. Empayar Johor dipecahkan kepada zon British (Johor-Pahang-Singapura) dan zon Belanda (Riau-Lingga).
Satu perkembangan yang di luar jangkaan Sultan dan Temenggong.
Kemudian pada 2 Ogos 1824, Crawfurd meminta Sultan Hussain dan Temenggong melepaskan Singapura dengan bayaran 20,000 Dolar kepada Sultan dan 15,000 Dolar kepada Temenggong secara lump-sum. Tawaran yang cukup dahsyat. Yang lagi dahsyat, Crawfurd kata bahawa Perjanjian 1819 hanya kehendak Raffles yang tidak sah di sisi EIC, Sultan dan Temenggong perlu membayar balik semua pencen dan bayaran yang diperuntukkan di bawah Perjanjian 1819 kalau enggan menandatangani Perjanjian 1824 yang baru ini.
Meskipun diugut sebegitu rupa, Sultan dan Temenggong tidak mahu menandatanganinya kerana ia melibatkan pelepasan hak Singapura. Maka Crawfurd melambatkan pembayaran pencen bulanan yang telah dijanjikan pada zaman Raffles kepada Sultan dan Temenggong selama 3 bulan. Pencen tersebut merupakan sumber pendapatan utama Sultan dan Temenggong, tanpanya Temenggong tidak dapat menjaga periuk nasi pengikutnya yang terdiri daripada 150 Orang Laut. Sultan Hussain pula terjerat dengan hutang ketika itu. Akhirnya secara paksa rela, Singapura telah dilepaskan kepada British.
Singapura dirampas ketika Johor berada dalam keadaan yang paling lemah dan tidak mempunyai pilihan. Jadi, cara terbaik untuk Johor mengembalikan haknya ialah menjadi kuat dan memperbaiki diplomasinya. Di bawah pemerintahan cucu Temenggong Abdul Rahman iaitu Sultan Abu Bakar (1862-1895), Teluk Belanga di Singapura telah dikembalikan kepada Johor pada tahun 1862 daripada tangan British. Kemudian wilayah Johor diperluaskan sehingga merangkumi Muar, Kesang dan sebahagian besar selatan Pahang (Sedeli, Mersing dan Endau) dan akhirnya membentuk wilayah Johor seperti hari ini. Johor menjadi sebuah negeri yang moden dan merdeka.
Sultan Abu Bakar bijak berdiplomasi dalam melawan British secara halus, tentu baginda dan waris-waris baginda mempunyai hasrat untuk mendapatkan kembali Singapura. Cuma hasrat tersebut tidak kesampaian apabila Johor hilang kedaulatan kepada British pada tahun 1914.
Kesimpulannya: (1) dakwaan bahawa Sultan/Temenggong menjual Singapura pada 1819 adalah tidak benar; (2) Temenggong tidak melakukan semua itu untuk kepentingan peribadi tetapi lebih kepada kelangsungan hidup (“survival”) kerajaan Johor di bawah ancaman kuasa-kuasa besar.
Ini semua adalah fakta-fakta yang perlu dihadam sebelum terlajak kata “Sultan Johor menjual Singapura”.
*Disebabkan cerita penuh terlalu panjang, status ini tidak menyebut beberapa peristiwa penting seperti bagaimana Wangsa Bendahara berakhir, bagaimana Temenggong menjadi Sultan, bagaimana Sultan keluar dari Singapura dan sebagainya.
Catat Ulasan