Neuralink syarikat tunas rintis milik Elon Musk telah memasang implan otak pertama mereka pada manusia pertama semalam( 29 Januari 2024). Menurut Musk, keputusan awal menunjukkan implan mampu mengesan isyarat neuron yang memberangsangkan. Siapa penerima pertama teknologi antaramuka otak manusia dan komputer masih belum diumumkan oleh Neuralink.
Musk turut mengumumkan produk pertama yang dikeluarkan oleh Neuralink ialah Telepathy. Ia membolehkan peranti pintar dan komputer dikawal dengan hanya penggunanya berfikir. Pengguna awal ialah mereka yang kehilangan keupayaan mengawal anggota. Telepathy akan membolehkan proses menaip lebih pantas berbanding sistem sedia ada untuk insan lumpuh.
Neuralink bukan syarikat pertama yang berjaya menghasilkan peranti antaramuka otak manusia dan komputer. Tahun lalu implan otak rekaan penyelidik University of California, San Francisco, dan University of California, Berkeley membenarkan pesakit strok bercakap dengan hanya berfikir. Sementara itu BrainGPT oleh University of Technology Sydney pula membaca gelombang otak untuk menaip tanpa implan dibenam terus pada otak.
Catat Ulasan