Percubaan Ketiga Starship Akhirnya Berjaya


Percubaan ketiga SpaceX untuk melancarkan kapal angkasa Starship ke angkasa berjaya dilakukan malam semalam ( 15/3/2024). Seperti dua percubaan sebelum ini, Starship dilancarkan dari Boca Chica Texas. Starship berjaya dipisahkan daripada roket Super Heavy yang digunakan dengan ia tiba ke orbit yang disasarkan.


Dalam dua percubaan sebelum ini Starship meletup dan hilang hubungan dengan pusat kawalan SpaceX sehingga terpaksa diletupkan. Kejayaan semalam memberikan harapan untuk Starship digunakan untuk Misi Artemis ke bulan sekitar 2026.

Sungguhpun misi Integrated Flight Test-3 (IFT-3) itu dianggap sebagai berjaya, ia tidak 100% mengikut perancangan Space X. Super Heavy berjaya diarahkan kembali ke bumi selepas proses pemisahan tetapi enjin roket Raptor yang digunakan tidak berjaya dihidupkan semula menyebabkan ia terhempas ke permukaan Teluk Mexico.

Starship pula berjaya melakukan pergerakan balik kuang dan diarahkan kembali semula ke bumi. Namun seperti IFT-2, hubungannya dengan pusat kawalan terputus ketika dalam perjalanan untuk terhempas ke Lautan Hindi. Secara rasminya Starship ini dianggap telah musnah ketika proses memasuki semula atmosfera bumi.

Selain akan digunakan untuk Misi Artemis, Starship ialah kapal angkasa yang boleh digunakan semula untuk Misi Dear Moon dan seterusnya ke permukaan Marikh oleh SpaceX. Ia turut mendapat perhatian Pentagon yang berminat menggunakannya sebagai pengangkut kargo berkelajuan tinggi untuk misi ketenteraan.

0/komen