Separuh Penduduk Bumi Akan Rabun Jauh


Myopia ataupun rabun jauh ialah isu dimana bola mata memanjang mengakibatkan pesakit tidak dapat melihat objek yang jauh. Menurut laporan yang diterbitkan oleh Nature, menjelang 2050 dianggarkan 50% atau sekitar 5 bilion penduduk bumi akan mengalami rabun jauh jika dibandingkan dengan 30% sekarang.

Peningkatan kes rabun jauh dilaporkan di seluruh dunia dengan di Hong Kong ia meningkat dua kali ganda di kalangan kanak-kanak berumur enam tahun berbanding sebelum pandemik. Ini dipercayai berlaku kerana kanak-kanak tidak lagi menghabiskan banyak masa di luar berbanding generasi terdahulu. Pandemik menyebabkan menjadi norma baharu untuk kanak-kanak duduk di dalam rumah hampir sepanjang masa.

Saintis mempunyai teori amalan duduk di luar selama beberapa jam sehari akan dapat mengelakkan rabun jauh daripada berlaku. Teori mengatakan mata akan membesar selari dengan umur kanak-kanak. Melihat objek yang jauh tidak memerlukan mata untuk memfokus kepada satu objek sahaja. Ini memberikan isyarat supaya mata berhenti memanjang.

Kanak-kanak yang duduk lebih lama di tempat tertutup perlu sentiasa memfokus pelbagai objek di persekitaran. Akibatnya mata akan terus memanjang sehingga mereka menjadi rabun. Penyelidik menyarankan perubahan dilakukan bermula di sekolah dengan kelas menggunakan dinding kaca, kertas dinding memaparkan pemandangan luar dan juga sistem lampu khusus.

Dengan kata lain jika anda mempunyai genetik rabun jauh, pastikan anda menghabiskan banyak masa di luar beberapa jam sehari. Menghabiskan masa menonton skrin komputer riba dan telefon akan menyebabkan anda menyumbang kepada populasi rabun 50% menjelang 2050.
 

0/komen