Kapsul angkasa lepas Boeing Starliner berjaya kembali semula ke bumi tanpa sebarang isu . Misi pertama dengan dua angkasawan yang sepatutnya hanya selama lama hari terpaksa dilanjutkan lebih 90 hari disebabkan isu pada kapsul. Starliner sudah kembali ke bumi tetapi dua krew masih di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kerana Boeing tidak dapat memberikan jaminan kepada NASA kapsul mampu membawa mereka pula ke bumi dengan selamat.
Proses mengembalikan Starliner berjalan tanpa sebarang masalah. Sistem tujahan yang bermasalah ketika cuba berlabuh ke ISS lebih tiga bulan lalu tidak berulang. Pendaratan dilakukan di White Sands Space Harbor, New Mexico dengan kapsul kini di tangan Boeing untuk melihat apakah yang menyebabkan pelbagai isu ketika ia di angkasa lepas.
Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kapal angkasa yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke ISS selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.
Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion. Tujuan asal program kapsul komersial ini dibangunkan ialah untuk mengurangkan kos menghantar angkasawan ke ISS. Tetapi kini kos untuk seorang angkasawan menggunakan Starliner ialah sekitar $90 juta yang jauh lebih mahal berbanding $55 juta menggunakan Crew Dragon.
Catat Ulasan