Pengasas Coklat Kandos


Inilah Kisah Sebenar Mengapa Coklat Kandos Sudah Tiada Di Pasaran, Apabila Pemiliknya "Terkubur" Di Selat Melaka

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui pengasas syarikat Kumpulan Syarikat Upali, Philip Upali Wijewardene yang mengeluarkan coklat itu di negara ini, hilang bersama pesawat peribadi yang dinaiki selepas dipercayai terhempas di Selat Melaka.

Mayat tokoh yang terkenal dengan gelaran ‘Raja Koko’ atau jutawan Mr Kandos itu bersama empat rakan termasuk juruterbang, tidak ditemui sehingga kini.
Dalam kejadian yang berlaku pada 14 Februari 1983, pesawat peribadinya, Jet Lear LR35 dipercayai terhempas ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Subang menuju ke Colombo, Sri Lanka.

Pesawat yang turut membawa rakyat Malaysia, S M Ratnam berlepas dari Subang kira-kira jam 8.40 malam dan dijangka tiba di Sri Lanka pada jam 12.11 pagi. Bagaimanapun, kira-kira 10 minit berlepas, pesawat dilaporkan hilang daripada radar pada kedudukan 100 kilometer nautika dari Subang.

Berikutan kehilangan pesawat itu, Malaysia, Indonesia, India dan Sri Lanka segera
menubuhkan pasukan khas menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian.
Malah, Singapura, Amerika Syarikat dan Russia turut menyertai pasukan itu bagi mengesan setiap inci Selat Melaka termasuk menggunakan kapal pengesan periuk api (logam), namun masih gagal menemui pesawat yang dipercayai terhempas di perairan itu.

Usaha mencari mangsa di sekitar Selat Melaka dihentikan setahun kemudian kerana tiada bukti atau penemuan baru ditemui untuk dijadikan petunjuk menyebabkan pasukan mencari menemui jalan buntu.

Sehingga kini, kehilangan Upali sering diperkatakan masyarakat Sri Lanka, malah peristiwa itu dimuatkan dalam laman web akhbar miliknya, The Island kerana beliau dianggap lagenda di negaranya kerana bercita-cita besar dan berjaya dalam perniagaan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.


komen