Pengalaman Ikut Kawan Balik Kampung




Aku ikut Ameir pulang ke kampungnya yang jauh di pedalaman, tempat yang dia selalu ceritakan penuh kenangan masa kecil. Namun, dari saat kami tiba, ada sesuatu yang tidak kena. Rumah kayu dikelilingi pohon-pohon besar yang seolah menutupi cahaya. Ketika melangkah masuk, aku dapat rasakan suasana yang ganjil, udara terasa lain & sejuknya seperti menyusup ke tulang. Dalam kegelapan rumah itu, aku terlihat seorang wanita tua terbaring kaku di bilik kecil di hujung koridor. "tu nenek kau?" tanyaku pada Ameir, cuba beramah. 

Dia hanya mengangguk, tapi wajahnya tidak tenang. Aku melambai ke arah neneknya dan bertanya khabar tapi tiada respon. Wajah nenek itu pucat dan matanya tertutup rapat. Anehnya, seluruh keluarganya termasuk ibu, ayah & Ameir sendiri diam seribu bahasa. Mereka berpandangan seperti berkomunikasi dengan mata, sebelum ibunya dengan cepat mengajak aku keluar dari bilik tu. "Nenek dah tak banyak cakap sekarang". Sesuatu terasa sangat pelik tapi aku menahan diri dari bertanya lebih lanjut. 

Malam pertama aku di rumah itu, suasana semakin seram. Saat semua orang tidur, aku terdengar bunyi halus dari arah bilik nenek. Bunyi itu seperti geseran kain diiringi bunyi berdesir yang tak dapat aku pastikan dari mana. Aku bangun dari katil, berjalan perlahan ke arah bilik itu. Pintu bilik nenek sedikit terbuka & dari celah pintu, aku nampak sesuatu mengejutkan, nenek Ameir duduk di atas kerusi, menatap ke arah tingkap yang gelap di luar. 

Aku tersentak kerana pada siang tadi, dia kelihatan tidak mampu bergerak. Badanku menggigil, rasa seram menjalar dari kepala hingga ke kaki. Aku berlari kembali ke bilik tanpa menoleh ke belakang & cuba tidur, tapi bunyi berbisik itu terus berdengung di telingaku. Pagi esoknya, aku ceritakan pada Ameir tentang apa yang aku lihat. "Nenek kau boleh bangun malam tadi? Dia duduk di kerusi." Wajah Ameir berubah pucat. "Nenek aku... dah lama tak bangun. Dia terlantar sebab sakit. 

Tak mungkin dia bangun," jawab Ameir perlahan. Dia kelihatan resah tapi tak mahu membincangkan hal itu lebih lanjut.Sepanjang hari, aku perhatikan sesuatu yang ganjil. Tiada siapa masuk ke bilik nenek & tiada sesiapa memberi dia makan mahupun menguruskannya. Aku cuba bertanya, mereka berdalih & menukar topik. Siang itu, aku memberanikan diri masuk ke bilik nenek untuk berbual. Nenek itu hanya terbaring kaku seperti mayat dengan mata tertutup rapat. Udara dalam bilik terasa aneh, seolah-olah terlalu sunyi dan berat. 

Aku cuba bercakap dengannya, tapi tiada reaksi. Matanya tidak terbuka & tubuhnya terlalu kaku untuk bergerak. Yang menambah ketakutan adalah bau busuk yang samar mula tercium seperti bau sesuatu yang lama mereput walaupun bilik itu nampak bersih. Perasaan aku semakin kuat bahawa ada sesuatu yang tidak betul dengan nenek Ameir. Ketika aku keluar dari bilik, Ameir berdiri di luar pintu, wajahnya kelihatan cemas. "Jangan masuk lagi ke bilik tu" katanya tegas tapi tanpa sebarang penjelasan. 

Rasa takut mula mencengkam, seolah-olah ada rahsia besar yang sedang mereka sembunyikan dariku.Malam itu, ketika aku terjaga sekali lagi untuk ke tandas, sesuatu lebih menyeramkan terjadi. Semasa melalui ruang tamu yang gelap dan sunyi, hanya disinari cahaya bulan, aku terhenti sejenak. Di sana, di atas kerusi kayu yang sama seperti malam sebelumnya, nenek Ameir duduk kaku, tidak bergerak. Kali ini, matanya yang kosong menatap terus ke arahku. Jantungku berdegup kencang. 

Aku cuba melangkah mundur tapi kaki terasa berat dan lemah, seolah-olah diseret sesuatu yang tidak terlihat. Tiba-tiba, nenek itu mula bergerak perlahan-lahan, gerakannya aneh dan kaku. Suara serak dan mengerikan keluar dari mulutnya, seolah-olah cuba mengatakan sesuatu tetapi aku tak mampu menangkap apa-apa kecuali bisikan yang tidak dapat difahami. Dalam ketakutan yang meluap-luap, aku berlari ke bilik, menutup pintu dengan kuat & menahan nafas sambil bersandar pada dinding. Namun, bunyi gesekan yang berterusan dari ruang tamu tidak berhenti seperti ada sesuatu yang mendekat.

Setelah Ameir mendedahkan hal sebenar, tubuhku terasa kaku, seolah-olah darahku membeku. "Nenek aku dah lama meninggal, Idham. Yang kau nampak... tu saka dia,' kata-katanya terus terngiang dalam fikiranku. Segala kejadian di kampung, nenek yang duduk kaku di kerusi, suara-suara ganjil waktu malam, tatapan matanya yang kosong, semua itu bukanlah bayangan malah sesuatu yang lebih gelap dan menakutkan. Tanpa berkata apa-apa lagi, aku hanya fokus pada perjalanan pulang ke bandar, berharap segala yang aneh itu akan hilang sebaik sahaja kami tiba. 

Namun, walaupun kami semakin jauh dari kampung, rasa seram itu masih mengekori setiap langkahku. Setibanya di bandar, aku turun dari kereta dan bergegas masuk ke rumah, menutup pintu rapat-rapat. Walaupun hiruk-pikuk bandar sepatutnya memberikan ketenangan, perasaan gelisah terus menghantui. Aku tahu, apa yang aku lihat dikampung Ameir bukan sesuatu yang mudah dilupakan.

komen