Pengantin Terpaksa Berjaga Sepanjang Malam


Seorang wanita menceritakan pengalaman diganggu di sebuah resort. 

SELESAI sahaja majlis perkahwinan, Adila dan suaminya, Mazlan terus ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk berjalan-jalan sambil 'healing' seketika selepas penat membuat persiapan kahwin.

Pada mulanya, mereka hanya merancang untuk balik hari kerana baki cuti masing-masing hanya tinggal sehari.

Bagaimanapun setelah tiba, pasangan ini memutuskan untuk bermalam di sana dan terus membuat tempahan hotel.

Malangnya, setiap hotel dalam talian yang cuba ditempah kesemuanya penuh.

Mereka bagaimanapun bernasib baik apabila sebuah resort yang dihubungi memaklumkan bahawa masih ada unit kosong. 

Jadi, tanpa banyak soal pasangan pengantin baharu itu terus ke sana.

Setibanya di resort itu, suasana nampak normal dan kelihatan beberapa pelancong bersantai di kawasan kolam renang dan kanak-kanak bermain air. 

Namun, suasana berbeza sebaik sahaja mereka tiba di blok penginapan mereka yang kelihatan sunyi dan suram, tidak seperti kawasan utama resort. 

Keadaan bertambah sunyi di aras bilik mereka tanpa ada kelibat penghuni lain, membuatkan pasangan ini mula berasa tidak sedap hati.

Selepas selesai solat Isyak, Mazlan membaca Yasin bagi mengurangkan rasa resah mereka berdua.

Habis sahaja bacaan Yasin, Mazlan terus memadamkan lampu dan dia serta isteri terus tidur.

Adila berasa hairan dengan sikap suaminya namun beranggapan Mazlan letih selepas berjalan-jalan seharian.

Sekitar pukul 2 pagi, Adila terjaga kerana suasana dalam bilik menjadi begitu panas apabila kipas dan penghawa dingin tidak berfungsi. 

Dalam kesunyian itu, kedengaran bunyi suis lampu di dinding dibuka dan ditutup berkali-kali. 

"Klik... klik... klik"

Bunyi itu berulang, seolah-olah ada seseorang yang sengaja bermain dengan suis lampu.

"Jangan ganggu la... kami penat ni!" tempik suami Adila memecah kesunyian bilik tersebut.

Tiba-tiba jelas kedengaran suara seperti seorang nenek tua ketawa kecil di tepi telinga pasangan ini.

Kedua-dua mereka saling berpandangan menandakan masing-masing dapat mendengar suara garau tersebut.

Si suami segera bangun dan memeriksa suis utama namun tiada tanda-tanda berlaku gangguan bekalan elektrik.

Ketakutan mereka semakin memuncak, tetapi pasangan ini tiada pilihan selain menunggu sehingga pagi.

Keesokan harinya, mereka berdua mendaftar keluar lebih awal gara-gara letih dan mengantuk kerana terpaksa berjaga sepanjang malam dalam keadaan ketakutan.

Ketika dalam perjalanan pulang, suasana di dalam kereta masih sunyi sepi sehinggalah si suami akhirnya bersuara.

"Malam tadi… ada perempuan rambut panjang bertenggek atas katil dalam bilik tu," kata Mazlan.

Adila sedar, apa yang dimaklumkan oleh Mazlan membuktikan bahawa rasa seram yang dirasakan sepanjang malam bukanlah main perasaannya semata-mata.

Setelah pulang ke rumah, Adila membuat carian di Google dan mendapati blok yang dihuni mereka di resort tersebut sememangnya 'keras'.
 

komen