
Seorang wanita langsung tidak menyangka bahawa keluarga mentuanya tergamak bertindak kejam terhadapnya selepas suami yang bekerja di luar pesisir (offshore) pergi belayar.
Wanita dikenali sebagai Lily itu mengakui sudah berusaha melayan keluarga mentua dengan seikhlas hati namun malah ditindas dan dilayan seperti hamba apabila suaminya keluar rumah mencari rezeki.
Hubungan mereka bagaimanapun menjadi semakin memburuk apabila mentuanya datang ke rumah untuk meminta geran dengan tujuan mahu menukar nama pemilik kediaman yang dibina suaminya.
Sudah melampaui batas, berikut adalah perkongsian Lily yang akhirnya berjaya melawan penindasan keluarga mentua tanpa kehadiran suami tersayang di sisi untuk membantunya.
“Aku nak kongsi kejahatan keluarga mentua biar masyarakat tahu yang keluarga toksik ini WUJUD. Aku Lily, seorang wanita yang berkahwin di usia muda. Selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), aku bekerja separuh masa selama dua tahun. Kumpul duit kahwin dan selamat jalanlah kepada kehidupan bujangku."
“Kahwin awal bukan sebab gatal. Tetapi sebab teman lelaki aku sudah berumur. Kami berkawan sejak aku Tingkatan Tiga. Sekarang umurku di awal 30-an, ada tiga cahaya mata yang sudah bersekolah. Kebanyakan hal rumah tangga kami, aku yang urus A to Z. Sebab suami aku kerja offshore, tiga ke empat bulan baru balik darat."
“Suami aku memang tiada masalah langsung bab nafkah. Malah suami mewahkan aku dengan apa sahaja barang yang dikehendaki. Setiap minggu aku berbelanja, habiskan duit dia. Aku suri rumah dan sekarang tengah menyambung pelajaran ke peringkat Master. Tugas aku hanya jaga anak sahaja."
“Aku belajar untuk mengisi masa lapang. Kejar ilmu selagi nyawa dikandung badan. Kalau suami balik, memang dia sahaja uruskan rumah. Aku goyang kaki. Nampak macam bahagia betul kehidupan rumah tangga aku. Tetapi dalam kebahagiaan itu, ada yang berdoa agar rumah tangga aku hancur berkecai."
“Yang paling luluh sekali, mereka adalah keluarga suami aku sendiri. Bermula ketika aku di awal kehamilan. Waktu itu baru berusia 20 tahun dan selalu balik rumah ibu bapa aku sebab suami pergi naik kapal. Aku mabuk, alahan mengandung sangat teruk sehingga perlukan pemantauan daripada doktor."
“Aku kena masuk wad, masuk air itu sudah macam kawan baik aku. Rumah keluarga aku di Pulau Pinang. Manakala rumah aku dan suami satu daerah dengan kediaman mentua di Selangor. Tetapi keluarga belah sana sibuk cakap aku mengada-ngada. Tak boleh bertahan hidup seorang diri."
“Rumah aku dan suami dengan keluarga mentua jaraknya lebih kurang 30 kilometer (km) sahaja. Jadi aku serah kunci pendua rumah kepada adik suami untuk tugasan pembersihan rumah jika kami tiada. Suami juga bersetuju untuk membayar urusan pembersihan kepada adik dia sepanjang aku mabuk alahan mengandung."
“Berbulan-bulan jugalah aku tak balik rumah sendiri. Satu hari, aku pulang mengejut sebab ada hal yang perlu diselesaikan berkaitan dengan kehamilanku. Aku balik tanpa beritahu sesiapa. Masuk sahaja rumah, aku sudah naik hantu. Bayangkanlah, rumah aku itu sudah jadi macam kediaman budak bujang."
“Aku rasa rumah bujang elok lagi. Dengan baju selerak dan pinggan tak cuci. Yang paling aku marah, ada perempuan duduk dalam rumah iaitu teman wanita kepada adik suami aku. Duduk pula dalam bilik tidur utama. Ya, bilik aku dengan suami. Wah-wah, seronok pula mereka berdua ini ya."
“Aku tak cakap banyak. Aku minta perempuan itu kemas baju dia dan keluar. Cara aku sangat sopan. Tutur kata masih mampu aku kawal. Sudah jadi satu hal pula aku yang kena mengemas rumah. Kemarahan makin membara bila ada plastik kondom bersepah dalam tandas. Masya-Allah, aku terpaksa upah orang kemas."
“Aku juga beli tilam baharu. Tak sanggup nak tidur di bekas orang bermaksiat di atas syurga buat aku dan suami. Kunci pendua aku minta pulangkan. Adik dia berkeras, bergaduh juga kami. Tetapi sebab aku ugut nak beritahu mentua pasal hubungan terlarang adik suami itu, baru dia nak pulangkan kunci pendua rumah aku."
“Itu red-flag pertama yang aku nampak dalam keluarga mentua. Keadaan semakin memburuk bila anak-anak menjangkau usia sekolah rendah. Adik-adik ipar yang perempuan selalu minta duit dekat abangnya iaitu suami aku. Bila tak bagi, katanya itu tanggungjawab abang untuk adik-adik. "
“Wah-wah kau nak borak tanggungjawab? Bapak kamu semua hidup lagi. Mintalah duit dekat bapak kamu. Semua pun sudah besar panjang, dah berkahwin. Tetapi berkahwin dengan suami yang tiada kerja tetap. Asyik tukar-tukar kerja. Jenis yang tiada komitmen di dalam hidup."
“Yang paling aku hangin sekali, adik-adik perempuan suami aku ini suka menghasut sekali ibunya. Suami aku beli gelang emas harga ribu riban, semua kalut nak juga. Kenapa? Sebab suami sendiri tak mampu kan. Bila aku datang rumah nak melawat ibu bapa mentua, kemain masing-masing dengan lagak sombongnya."
“Sampai sanggup makan dalam bilik. Punyalah tak nak jumpa aku. Lucunya, bila aku ada dalam rumah itu, semua kulikan aku ya? Sedikit pun aku tak berkira nak tolong. Perangai masing-masing sangat biadap. Tetapi bab solat, bab agama, menutup aurat, ikut satu persatu. Tak tinggal. Alhamdulillah."
“Allah suruh layan tetamu kerana mereka pembawa rezeki. Tetapi kamu semua layan aku macam orang gaji. Bertahun aku diam dan telan semua kerana hormat kepada keluarga mertua. Aku hanya mula melawan sejak kes rumah kedua milik suami telah siap dibina. Tiba-tiba ibu bapa mentua minta nak sewa. Suami benarkan."
“Selepas bertahun suami bagi sewa, dengan tiba-tiba ibunya nak tukar nama kepada anak perempuan dia. Iaitu adik suami yang sudah berkahwin tetapi tiada rumah. Wah senang banyak, habis laki engko jadi apa? Masa ini aku dah merentan. Aku pergi rumah keluarga mentua seorang diri sebab suami naik kapal."
“Aku ajak bincang elok-elok. Tetapi semua cakap aku ini tak sedar dek untung sebab suami ada duit. Boleh bela aku. Kahwin dengan ahli keluarga mereka, dimanjakan dengan duit dan tiba-tiba jadi kurang ajar macam ini. Jammed otak. Aku cakaplah nak menyewa itu sewa sahajalah, kenapa sampai nak tukar nama rumah."
“Tidak berhenti di situ. Masing-masing tunjuk taring. Berbulan lama aku diam tetapi kes rumah kedua suami ini makin hangat disebut. Keluarga suami memang kaw-kaw pujuk dia kerana mahukan rumah itu untuk anak perempuan mereka. Aku pula bertegas supaya suami sedar diri yang dia itu ada anak lelaki, anak kami."
“Harta tak banyak, lagi nak jadi dermawan untuk keluarga sendiri. Keluarga mentua pula pandai, masa suami naik kapal baru nak siksa mental aku. Masa suami balik, semua tunjuk baik. Suatu hari, mentua bersama adik perempuan suami yang konon-konon berharap kediaman itu akan jadi miliknya, datang ke rumah aku."
“Mereka minta geran rumah kedua suami dengan alasan nak buat salinan fotostat. Aku tak bagi, minta mereka tunggu suami balik. Tetapi mereka masih berdegil dan siap tunjal kepala aku. Oh, silap besar. Aku ugut mahu telefon polis kalau mereka tak nak balik. Selepas mereka beredar, aku capai telefon untuk hubungi peguam aku."
“Peguam aku buat kerja tak sampai dua hari pun. Adik perempuan suami yang duduk di rumah kedua itu dihalau. Dari tengah hari sampai ke malam, telefon aku tak henti berdering. Aku dengan anak-anak? Pergi Langkawi naik kapal persiaran, minum jus oren konon macam Kim Kardashian gitu."
“Rancangan aku ini, semua dipersetujui oleh suami. Sebab sudah banyak perkara lain yang perlu suami aku lalui sebelum ini. Awalnya aku rasa kejam. Tetapi bila fikirkan balik, padan muka kamu semua. Silap besarlah, aku ini ada kelulusan Sarjana Muda walaupun berkahwin ‘muda’."
“Aku bukan perempuan bodoh ya. Kalau ada rezeki, aku kongsi lagi apa yang keluarga mentua buat sehingga kami suami isteri jadi keras hati macam ini. Siap kait dengan anak-anak kami ya. Buat masa sekarang, setakat ini sahaja,”
Luah Lily (bukan nama sebenar)
Catat Ulasan