
Berkata Abu Hurairah r.a: “Kekasihku (Rasulullah ﷺ) berpesan kepadaku supaya melakukan tiga perkara, iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Duha sebanyak dua rakaat, dan melaksanakan solat Witir sebelum tidur.” (Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721))
Solat Duha adalah salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ. Solat ini bukan sahaja membawa banyak ganjaran, malah ia merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan setiap hari.
Waktu Pelaksanaan Solat Duha
Solat Duha boleh dilaksanakan bermula kira-kira 25 minit selepas terbit matahari hingga sebelum gelincir matahari, iaitu lebih kurang 20-25 minit sebelum masuk waktu Zohor. Namun, terdapat waktu terbaik untuk menunaikan solat ini, iaitu sekitar tiga jam setengah selepas waktu Subuh atau di antara pukul 9:45 hingga 10:45 pagi.
Bilangan Rakaat
Solat Duha sekurang-kurangnya dilakukan sebanyak dua rakaat, dan sekiranya mampu, adalah lebih afdhal untuk menambah rakaat sehingga lapan.

Niat Solat Duha
Untuk melaksanakan Solat Duha, lafaz niat adalah seperti berikut:
Lafaz Niat:

(Usolli sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta‘ala)
Maksudnya:
"Sahaja aku solat sunat Duha dua rakaat, kerana Allah Taala."
Cara Melaksanakan Solat Duha
Solat Duha dilaksanakan seperti solat sunat yang lain dengan bacaan dan pergerakan yang serupa. Berikut adalah cadangan bacaan bagi setiap rakaat:
1. Rakaat pertama:
Baca Surah al-Fatihah dan Surah asy-Syams atau mana-mana surah pilihan.
2. Rakaat kedua:
Baca Surah al-Fatihah dan Surah ad-Duha atau mana-mana surah pilihan.
Fadilat Solat Duha
Solat Duha mempunyai banyak kelebihan dan ganjaran, antaranya:
Dicukupkan segala keperluan kita pada hari tersebut.
Dikira sebagai sedekah kepada setiap sendi pada tubuh badan kita yang berjumlah 360.
Menjadi tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kurnia yang diberikan.
Solat Duha bukan sahaja mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, malah ia juga merupakan satu bentuk pengabdian yang membawa ketenangan jiwa dan kebahagiaan rohani. Semoga dengan mengamalkan solat ini, kita semua mendapat rahmat dan redha Allah SWT.
Catat Ulasan