Sony Kini Memasuki Arena Penghasilan Kereta Elektrik


Sony memulakan operasi pada tahun 1946 dengan penghasilan peralatan elektrik. Dalam sejarah mereka telah bertanggungjawab mempopularkan pemain kaset mudah alih Walkman dan kini adalah nama besar dari arena permainan video dan juga fotografi. Evolusi Sony seterusnya ialah industri automotif selepas memperlihatkan konsep kereta elektrik Sony Vision-S di CES.


Kenderaan elektrik ini mampu membawa empat orang penumpang. Setiap penumpang mampu mengakses sistem audio 360 darjah yang memberikan pengalaman audio visual peribadi yang memuaskan. Pada bahagian hadapan terdapat skrin memanjang yang memaparkan maklumat pemanduan serta sistem infohibur.

Penumpang di kerusi belakang turut mempunyai skrin tersendiri untuk sistem infohibur peribadi. Memandangkan Vision-S masih lagi sebuah konsep, Sony belum berkongsi maklumat mengenai sistem motor elektrik yang digunakan, kapasiti bateri, jarak operasi dan kemampuan swapandu. Setakat ini yang diketahui ialah sebanyak 33 sensor digunakan pada keseluruhan kenderaan.


Sensor yang sama dilihat mampu mengesan kehadiran pengguna apabila mereka berjalan hampir kepada kenderaan. Turut dapat dilihat ialah sistem kamera sisi menggantikan cermin lengkap dengan skrin LCD di dalam kabin.

Vision-S menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Blackberry QNS, Qualcomm, NVIDIA, Bosch, Magna dan HERE Maps. Menurut mereka lagi Vision-S ialah sebuah platform kenderaan elektrik baharu yang membolehkan ia turut digunakan pada kenderaan elektrik lain seperti SUV misalnya.


komen