
Seorang wanita warga emas kerugian RM105,311 akibat terperdaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan diterima pihaknya, skelmarin, mangsa yang juga pesara berusia 61 tahun dari Maran dikatakan melihat iklan tawaran pinjaman wang atas nama sebuah syarikat, dalam aplikasi Google pada awal bulan lalu.
Beliau berkata, mangsa kemudian menekan satu pautan sebelum berhubung melalui WhatsApp dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat.
"Mangsa berminat untuk membuat pinjaman wang berjumlah RM60,000, dan menyerahkan maklumat peribadi seperti gambar kad pengenalan serta penyata pencen."
"Selepas itu, mangsa dimaklumkan bahawa pinjaman diluluskan. Sepanjang tempoh 8 hingga 26 Februari lalu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran untuk caj perkhidmatan."
"Justeru, mangsa melakukan sebanyak 35 transaksi kepada 19 akaun hingga mencecah jumlah RM105,311," katanya dalam kenyataan .
Bagaimanapun, Yahaya berkata, mangsa mendakwa terus diminta membuat pembayaran lain jika mahu mendapatkan kembali wang itu, malah diugut bahawa gambar kad pengenalannya akan ditularkan dalam Facebook.
"Suspek didakwa memaklumkan akan menghantar pemungut hutang untuk menuntut hutang di rumah walaupun mangsa tidak pernah menerima sebarang pembayaran."
"Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana berasa ditipu. Hasil siasatan mendapati wang berkenaan adalah daripada simpanan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Catat Ulasan