Huawei telah memperkenalkan secara rasminya telefon tri-lipat mereka, dinamakan Huawei Mate XT. Pengenalan Huawei ini sekaligus menjadikan mereka yang pertama di dunia dalam memperkenalkan peranti dengan rekaan seperti ini secara komersil untuk dibeli oleh orang ramai.
Melalui rekaan tri-lipat ini, ia membolehkan pengguna menggunakan ia sebagai telefon biasa pada saiz 6.4-inci, atau membuka sebahagian menjadikan ia 7.9-inci, atau membuka keseluruhan dan menjadikan ia peranti bersaiz 10.2-inci. Huawei menggunakan panel OLED pada telefon pintar ini, namun tidak menyatakan cip pemprosesan yang menguasakan peranti ini. Disebabkan ia menawarkan rekaan tri-lipat, maka ia lebih tebal berbanding telefon lipat Samsung.
Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah bateri 5600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W, tri-kamera belakang gabungan 50MP + 12MP + 12MP, selain kamera swafoto 8-megapixel yang diposisikan melalui lubang pada skrin. Ia hadir dalam variasi penawaran 16GB RAM dengan 256GB storan, sehingga 16GB RAM bersama 1TB storan.
Huawei menggunakan Harmony OS pada telefon pintar ini, selain turut menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian tepi peranti. Buat masa ini, telefon tri-lipat ini hanya ditawarkan di China sahaja, pada harga bermula 19,999 Yuan, iaitu sekitar RM12,205.
Catat Ulasan